Saham Kanger curi tumpuan pelabur, F&N berakhir lemah | DagangNews Skip to main content

Saham Kanger curi tumpuan pelabur, F&N berakhir lemah

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 Julai - Indeks utama, FBM KLCI berakhir agak positif pada penutupan petang ini, menokok 2.07 mata atau 0.14% kepada paras 1,514.60, namun ketidakpastian masih lagi 'menghantui' pasaran saham tempatan.

 

Ini dicerminkan oleh.jumlah kaunter rugi sebanyak 657 yang mengatasi jumlah kaunter untung sebanyak 326.

 

Dalam kalangan kaunter paling rancak diniagakan, saham Kanger International Berhad berjaya mencuri perhatian pelabur selepas pemegang sahamnya bersetuju dengan langkah kumpulan untuk mengambil alih 51% ekuiti Sung Master Holdings Sdn. Bhd.

 

Saham Kanger berakhir dengan RM195.73 juta dari segi permodalan pasaran dan jumlah saham sebanyak 2.796 bilion. 

 

Sementara saham Serba Dinamik Holdings Berhad masih mengekalkan kedudukannya dalam kaunter paling aktif yang berakhir pada kadar 42 sen sesaham. 

 

Genetec Technology Berhad masih belum melepaskan kedudukannya untuk terus mengungguli kaunter paling untung apabila harga sahamnya melonjak RM1.68 kepada RM20.40. 

 

Turut merasai impak positif itu adalah saham Nestle (Malaysia) Berhad yang menokok 80 sen kepada RM133.80.

 

Saham Fraser & Neave Holdings Berhad sebaliknya berakhir 50 sen lebih rendah kepada RM25.50.

 

Ini diikuti oleh saham B.I.G. Industries Berhad yang merosot 39 sen atau 23.78% kepada RM1.25. 

 

Turut menonjolkan prestasi negatif adalah saham ViTrox Corporation Berhad, Petronas Dagangan Bhd, Carlsberg Brewery Malaysia Berhad dan Hong Leong Financial Group Berhad.

 

Menurut Trading Economics, kebanyakan bursa utama di Asia didagangkan bercampur-campur dengan pasaran saham di Hong Kong dan China terus mencatatkan penyusutan selama tiga hari berturut-turut. 

 

Ini disebabkan oleh penjualan besar-besaran sektor internet, teknologi dan hartanah ketika terdapat kebimbangan terhadap perubahan dasar berikutan tindakan undang-undang Beijing dalam sektor pendidikan dan hartanah. - DagangNews.com