Saham Public Bank, Pharmaniaga, Hartalega 'paling panas' minggu lalu | DagangNews Skip to main content

Saham Public Bank, Pharmaniaga, Hartalega 'paling panas' minggu lalu

 

 

KUALA LUMPUR 21 Julai - Saham Public Bank Bhd., Pharmaniaga Bhd. dan Hartalega Holdings Bhd. paling banyak diniagakan sepanjang minggu lalu.  

 

CGS-CIMB dalam laporan aliran dana bagi minggu berakhir 16 Julai itu, menunjukkan saham Public Bank paling banyak dibeli pelabur institusi tempatan sebanyak RM52 juta manakala pelabur institusi asing pula menjual saham perbankan ini sebanyak RM74.4 juta.

 

"Pharmaniaga pula menjadi pilihan pelabur runcit dengan membeli bersih sahamnya berjumlah RM28.7 juta tetapi tidak bagi pelabur institusi tempatan dengan menjual sahamnya sebanyak RM38.5 juta.

 

"Hartalega pula paling banyak dibeli pelabur institusi asing berjumlah RM27.6 juta sebaliknyasebanyak RM25.5 juta dijual pelabur institusi tempatan," katanya hari ini.

 

Menurut firma itu, pelabur institusi tempatan menjadi pembeli ekuiti terbesar berjumlah RM84 juta selepas menjual RM100 juta minggu sebelumnya.

 

Kebanyakan pelabur ini membeli saham dalam sektor perkhidmatan kewangan dan teknologi dengan pilihan 3 saham utama iaitu Public Bank, Greatech Technology Bhd. dan Malaysia Airport Holdings Bhd. (MAHB).

 

Bagi pelabur runcit pula, ia menyaksikan aliran pembelian berjumlah RM36 juta, susut 89% minggu ke minggu. 

 

"Pelabur runcit banyak membeli saham berkaitan penjagaan kesihatan dan perkhidmatan kewangan dengan 3 saham menjadi tumpuan itu Pharmaniaga, Pasukas Group Bhd. dan Supermax Holdings Bhd.," jelasnya. 

 

CGS-CIMB berkata, pelabur asing pula menjual RM174 juta ekuiti minggu lalu, menyusut berbanding RM324 juta daripada minggu sebelumnya.

 

"Mereka membeli bersih saham berkaitan sektor perkhidmatan kewangan dan penjagaan kesihatan iaitu Public Bank, Supermax dan Malayan Banking Bhd. (Maybank)," tambahnya.

 

Firma itu mendapati, indeks FBM KLCI minggu lalu berkembang 0.1% didorong saham berkaitan sektor penjagaan kesihatan. 

 

Bagaimanapun, jumlah dagangan purata harian susut 15% minggu ke minggu kepada 4.7 bilion unit manakala nilai dagangan purata harian susut 12% kepada RM2.9 bilion. - DagangNews.com