Saham syarikat Berjaya 'curi tumpuan', Pharmaniaga, Pasukhas, Serba Dinamik, NWP, BIG turut rancak diniagakan | DagangNews Skip to main content

Saham syarikat Berjaya 'curi tumpuan', Pharmaniaga, Pasukhas, Serba Dinamik, NWP, BIG turut rancak diniagakan

 

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Bursa tempatan pagi ini susut 7.49 mata kepada 1,513.33 mata meskipun ditutup tinggi petang semalam.

 

Dagangan pada Khamis didorong aktiviti belian saham pada harga rendah berterusan sepanjang sesi dagangan dalam hampir semua sektor secara menyeluruh diterajui oleh sektor penjagaan kesihatan.

 

Bagi saham-saham aktif pagi ini, antara yang mencuri tumpuan ialah Berjaya Corporation Bhd. (BCorp) dan Berjaya Land Bhd. (BLand).

 

Saham BCorp dibuka 3.64% kepada 28.5 sen manakala BLand menokok 10.34% kepada 32 sen. Berjaya Sports Toto Bhd. (BToto) pula naik 0.51% kepada RM1.97. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bcorp, Abdul Jalil Abdul Rasheed semalam dilaporkan merancang untuk menjadikan anak syarikatnya, BLand sebagai syarikat persendirian dan melupuskan BToto sebagai sebagai sebahagian daripada pelan transformasi syarikat.

 

Turut rancak diniagakan termasuklah saham Pasukhas Group Bhd. susut 17.95% kepada 16 sen diikuti Serba Dinamik Holdings Bhd. susut 1.1% kepada 45 sen dan Pharmaniaga juga dibuka rendah 10.1% kepada 93.5 sen.

 

NWP Holdings Bhd. pula menokok 2.44% kepada 21 sen diikuti BIG Industries Bhd. naik 17.57% kepada 87 sen. 

 

Apa yang menarik dalam dagangan pagi ini, adalah kaunter syarikat pengeluar sarung tangan getah dengan masing-masing mencatat dagangan bercampur-campur ekoran kes jangkitan COVID-19 kekal tinggi.

 

Top Glove Corporation Bhd. menokok 0.74% kepada RM4.070 manakala Hartalega Holdings Bhd. susut 2.49% kepada RM7.45.

 

Kossan Rubber Industries Bhd. pula susut 0.61% kepada RM3.26 dan Supermax Corporation Bhd. susut 1.14% kepada RM3.46.

 

Selain saham-saham ini, pasaran juga tertumpu kepada kaunter Bumi Armada Bhd, Yenher Holdings Bhd., AmBank (M) Bhd., Ekovest Bhd. dan Kelington Group Bhd.

 

Ia juga termasuklah Solarvest Holdings Bhd., Kejuruteraan Asastera Bhd., Ireka Corp Bhd., Nexgram Holdings Bhd, Malakoff Corp Bhd dan Media Prima Bhd. - DagangNews.com