KUALA LUMPUR 12 Julai - Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (SAMENTA) menyeru kerajaan mempertimbangkan sama ada strategi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih berkesan di dalam membendung penyebaran COVID-19, atau apakah ada cara yang lebih baik untuk menangani wabak ini.
Pengerusi, Dasar dan Hubungan Kerajaan, SAMENTA, Datuk Willam Ng berkata, Dato’ Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi mendedahkan bahawa sebanyak 580,000 perniagaan atau 49% daripada semua perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) mungkin gulung tikar menjelang bulan Oktober.
Beliau berkata, kenyataan menteri itu tidak menghairankan, kerana tinjauan pertengahan tahun SAMENTA yang dilakukan bulan lepas menunjukkan bahawa 30% PKS mempunyai simpanan tunai kurang dari satu bulan.
Menurut beliau, PKP di seluruh negara dan PKPD di Selangor telah menjadikan mustahil bagi kebanyakan PKS untuk meneruskan perniagaan mereka.
"Sudah ada berita PKS yang enggan mengikuti SOP dengan menjalankan perniagaan mereka walaupun didenda atau diambil tindakan penguatkuasaan lain.
"Ketidakpatuhan sosial atau ‘social disobedience’ seperti ini tidak pernah terjadi sebelum ini dan menunjukkan betapa terdesaknya kebanyakan PKS terutamanya PKS mikro," katanya dalam kenyataan di sini.
Tinjauan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi juga mendapati ramai pemilik PKS mengalami masalah ‘business fatigue’ dan kesihatan mental. Jelas sekali, keadaan sudah mencapai tahap kritikal.
Ng berkata, SAMENTA menyarankan supaya sektor ekonomi dibenarkan beroperasi semula secepat mungkin dengan SOP yang ketat.
"Gunakanlah tenaga barisan hadapan yang menjaga sekatan jalanraya dan yang membuat lawatan mengejut untuk menguatkuasakan SOP tanpa pilih kasih. Yang tidak ikut SOP kita hentikan 14 hari. Tapi yang ikut SOP dengan penjarakan sosial dan separuh tenaga pekerja - kita harus benarkan secepat mungkin.
"Kerajaan juga tidak patut membezakan perniagaan berdasarkan mana yang perlu dan mana yang tidak. Sekiranya ianya selamat untuk membuka kembali mana-mana sektor, tidak ada alasan mengapa sektor lain tidak dibuka semula melainkan penjarakan sosial tidak dapat dilakukan," katanya.
Menurut beliau, SAMENTA dan persatuan-persatuan lain bersedia membantu memastikan PKS mematuhi SOP yang diperketatkan sekiranya dibenarkan beroperasi secepat mungkin. - DagangNews.com