Sapura Energy catat untung bersih RM146 juta pada 1QFY24, peningkatan 58% berbanding tahun lalu | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy catat untung bersih RM146 juta pada 1QFY24, peningkatan 58% berbanding tahun lalu

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 26 Jun - Sapura Energy Berhad mencatatkan untung bersih sebanyak RM146 juta bagi suku pertama berakhir 30 April 2023 (1QFY24) peningkatan 58% berbanding RM92 juta yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Kumpulan itu mencatatkan keuntungan itu selepas meraih hasil sebanyak RM952 juta, peningkatan sederhana bebranding RM886 juta pada suku sama tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Anuar Taib berkata, kumpulan itu melaporkan peningkatan 30% pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM332 juta bagi 1QFY24 berbanding RM250 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya.

 

"Ia adalah ahsil daripada daya tahan dan keazaman kami untuk memulihkan syarikat walaupun berada dalam status Nota Amalan 17 (PN17) dengan akses terhad kepada modal kerja dan jaminan bank," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, perolehan kumpulan menyaksikan peningkatan disebabkan beberapa faktor, termasuk permulaan projek E&C utama di Congo dan pendapatan stabil yang dijana daripada penggunaan hampir penuh armada pelantar penggerudiannya.

 

“Strategi kami untuk menggunakan aset utama di luar sempadan Malaysia, meningkatkan keupayaan kami untuk mendapatkan kerja dan menyiapkan projek untuk pelanggan antarabangsa. 

 

"Strategi ini telah membolehkan kumpulan mengeksport kepakarannya dan membawa pulang hasil yang diperoleh dalam dolar AS," katanya.

 

Hampir 70% daripada pendapatan 1QFY24 dijana daripada operasi antarabangsa dengan RM748 juta hasil luar negara didenominasikan atau diperoleh dalam dolar AS, secara tidak langsung memberi manfaat kepada ekonomi negara.

 

Sapura Energy baru-baru ini mendedahkan bahawa segmen perniagaan E&C, O&M, dan penggerudiannya memperoleh anugerah kontrak di Hemisfera Timur dan Barat dengan nilai gabungan kira-kira RM1.4 bilion, meningkatkan pesanan tertunggaknya kepada RM5.8 bilion.

 

Sementara itu, kumpulan itu kekal di landasan yang betul dengan pelaksanaan pelan penyusunan semula bagi keluar daripada status PN17.

 

Kumpulan itu sedang membuat kemajuan ke arah memuktamadkan Cadangan Skim Penstrukturan Semula (PRS) dan pelan penyusunan semula.

 

Mahkamah Tinggi baru-baru ini membenarkan Sapura Energy dan 22 anak syarikat milik penuhnya dilanjutkan untuk perintah bersidang dan sekatan yang diberikan bermula 11 Jun 2023 hingga 10 Mac 2024.

 

Selain itu, kumpulan itu juga telah diberikan lanjutan masa sehingga 30 November 2023 untuk menyerahkan pelan penyusunan PN17 kepada pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan. - DagangNews.com