Sapura Energy diunjur terus mengalami kerugian sehingga FY26 - Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sapura Energy diunjur terus mengalami kerugian sehingga FY26 - Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mac - Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengunjurkan Sapura Energy Berhad akan terus mengalami kerugian pada FY24 hingga FY26.

 

Firma itu berkata, unjuran itu dikekalkan sehingga skim penstrukturan semula yang dicadangkan bermula dan menawarkan hala tuju yang jelas.

 

Katanya, kumpulan itu kekal terdedah dengan campuran negatif dan kunci kira-kira yang tidak stabil, aliran tunai yang tidak lancar, kontrak legasi dan pelaksanaan projek yang lemah serta lebihan kos.

 

"Usaha untuk memulihkan kumpulan itu kekal sebagai cabaran dan ia sedang dijalankan ketika ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, kumpulan itu berjaya mengurangkan kerugian bersihnya kepada RM3.3 bilion bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2023 (4QFY23) berbanding kerugian yang lebih besar sebanyak RM6.76 bilion bagi suku sama pada tahun sebelumnya.

 

Keputusan itu didorong oleh hasil yang lebih tinggi dan peruntukan yang lebih rendah untuk kerugian yang boleh dijangka, walaupun kerugian pertukaran mata wang asing yang lebih tinggi disebabkan oleh kelemahan dolar Amerika Syarikat (AS) berbanding ringgit.

 

BACA JUGA: Kerugian bersih Sapura Energy menyusut kepada RM3.3 bilion bagi 4QFY23

 

Firma itu berkata, kumpulan itu perlu meraih pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM1.2 bilion setahun untuk pulang modal selain menyemak semula kos operasi bagi memastikan ia berada di paras terendah.

 

Katanya, pada masa sama mereka perlu mengurangkan tempahan tertunggak sebanyak RM5.6 bilion agar tidak terus mengalami lebiham kos.

 

"Kumpulan itu perlu mempelbagaikan pendapatan selain serta menghasilkan wang daripada aset sedia ada," katanya.

 

Firma tu mengekalkan saranan 'jual' dengan harga sasaran (TP) 3 sen sesaham. - DagangNews.com