Sarawak beri vaksin CanSino satu dos untuk individu tidak mahu divaksin | DagangNews Skip to main content

Sarawak beri vaksin CanSino satu dos untuk individu tidak mahu divaksin

Vaksin CanSino Biologics Inc

KUALA LUMPUR 13 Julai - Kerajaan Sarawak akan memberi suntikan vaksin jenis Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine keluaran CanSino Biologics Inc, China kepada individu yang enggan divaksin.

 

Pemberian vaksin dos tunggal itu dikhususkan bagi komuniti Sarawak yang tinggal di kawasan terpencil seperti Penan.

 

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, perkara itu dibuat memandangkan masih terdapat segelintir masyarakat di luar bandar yang tidak mahu divaksin walaupun pelbagai galakan dan usaha dilakukan.

 

"Seperti di Limbang, komuniti Penan di sana tidak mahu divaksin.

 

"Jadi mungkin vaksin berdos tunggal Cansino paling sesuai untuk mereka yang 50-50 ini kerana kalau menggunakan vaksin sedia ada, selepas disuntik mereka tidak akan mahu datang untuk suntikan kedua," katanya seperti dilapor Harian Metro.

 

Mengulas isu sama, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memberitahu, pihaknya akan meneruskan program vaksinasi di negeri berkenaan meskipun bekalan vaksin CanSino belum diterima.

 

Menurutnya, Sarawak hingga kini belum menerima bekalan vaksin berkenaan walaupun dijanjikan akan menerima bekalan tersebut pada bulan ini.

 

"Kita masih menunggu, tetapi apa pun, kita akan meneruskan program vaksinasi kerana objektif kita adalah memberikan vaksin kepada rakyat secepat mungkin.

 

Pada 15 Jun baru-baru ini, kerajaan memberi kelulusan pendaftaran bersyarat kepada vaksin jenis Convidecia Recombinant Novel Coronavirus Vaccine (Adenovirus Type 5 Vector), keluaran CanSino Biologics Inc, China.

 

Vaksin berkenaan yang hanya memerlukan satu dos pelalian itu telah diberi kelulusan Penyenaraian Penggunaan Kecemasan (Emergency Use Listing atau EUL) oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). - DagangNews.com