Sarazin kini Pengarah Pengurusan Risiko dan Pematuhan MDEC | DagangNews Skip to main content

Sarazin kini Pengarah Pengurusan Risiko dan Pematuhan MDEC

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 4 Mac - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia  (MDEC) telah melantik Sarazin Sheikh Mustafa sebagai Pengarah Pengurusan Risiko dan Pematuhan baharunya.

 

Susulan pelantikan itu, Sarazin akan bertanggungjawab memberi khidmat nasihat dan arahan taktikal kepada MDEC melibatkan strategi penilaian risiko dan pelan mitigasi.

 

Menurut MDEC dalam sebuah kenyataan, beliau juga akan memimpin pelaksanaan Rangka Kerja Pengurusan Risiko agensi tersebut untuk memastikan bahawa penilaian serta mengenal pasti risiko yang komprehensif dan konsisten dipenuhi.

 

Pengerusi MDEC, Datuk Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, sepanjang karier Sarazin, beliau telah memantapkan diri sebagai pemimpin bidang pengurusan risiko.

 

Rais Hussin
Rais Hussin Mohamed Ariff

 

“Saya yakin beliau akan menerajui Bahagian Pengurusan Risiko dan Pematuhan yang sangat penting dalam menyokong usaha dan inovasi berterusan bagi meningkatkan penyelesaian yang membolehkan MDEC untuk terus memimpin ekonomi digital ke hadapan.

 

“Ini seterusnya akan memastikan agensi ini berada di landasan tepat untuk merealisasikan potensi dan peluang pada era Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) dan Malaysia 5.0.

 

“Saya berharap MDEC dapat meningkatkan kecekapan secara keseluruhan bagi memberi manfaat kepada pelbagai pihak berkepentingan,  rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan sama.

 

Perkembangan berkenaan merupakan satu lagi langkah ke hadapan di bawah misi ‘Mencipta Semula’ MDEC untuk memupuk organisasi berprestasi dan berimpak tinggi, menurut kenyataan itu lagi.

 

Sarazin akan memimpin Bahagian Pengurusan Risiko dan Pematuhan MDEC serta bertanggungjawab untuk memberikan nasihat dan arahan taktikal kepada Lembaga Pengarah, jawatan kuasa berkaitan termasuk Jawatankuasa Integriti, Audit dan Pengurusan Risiko serta bahagian perniagaan yang sesuai dengan komitmen MDEC.

 

Ini termasuk mengawasi pelaksanaan pengurusan risiko perusahaan dan kerangka pematuhan MDEC serta mempromosikan kepatuhan terhadap peraturan, prosedur dan piawaian, jelas agensi itu.

 

Tambah MDEC, ini mencerminkan Metrik Penilaian Input, Output, Outcome & Impact (IOOI) yang diperkenalkan MDEC baru - baru ini untuk memantau peruntukan dan penggunaan sumber, serta mengukur secara efektif sumbangan sosio ekonomi organisasi kepada masyarakat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, kepakaran dan pengalaman yang dimiliki Sarazin akan mengukuhkan strategi dan proses pengurusan risiko agensi tersebut.

 

Surina Shukri
Surina Shukri

 

“Rangka kerja pengurusan risiko yang mantap akan memberikan MDEC asas yang kukuh untuk menguruskan ketidakpastian dan meningkatkan nilai pihak berkepentingan, melengkapkan usaha memajukan ekonomi digital dan seterusnya akan memberi manfaat kepada kemakmuran bersama selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Ekonomi Digital Negara (MyDIGITAL),” katanya.

 

Sebelum ini, Sarazin merupakan Naib Presiden dan Ketua Bahagian Pengurusan Risiko, Perusahaan dan Pengurusan Kesinambungan Perniagaan di Bank Simpanan Nasional (BSN).

 

Beliau memimpin dalam aspek peningkatan hubungan dengan pengawal selia dan pihak berkepentingan selain bertanggungjawab mengenal pasti, menilai dan melakukan tinjauan dan pemantauan risiko supaya selari dengan Rangka Kerja Risiko Bank Negara Malaysia (BNM) dan BSN.

 

"Saya membawa pengalaman selama 15 tahun dalam pengurusan risiko dan strategi dan akan melakukan yang terbaik dalam memastikan MDEC terus mencipta hasil yang berkesan dan sesuai di semua peringkat.

 

“Saya gembira dapat melaksanakan tugas dan menerapkan pengetahuan untuk menambah nilai ke arah mencapai amalan dan hasil terbaik,” kata Sarazin. – DagangNews.com