Satukan ladang getah kecil dapat kurangkan import sebanyak 50% - Johari Abdul Ghani | DagangNews Skip to main content

Satukan ladang getah kecil dapat kurangkan import sebanyak 50% - Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR 23 Julai - Ladang getah kecil perlu disatukan bagi meningkatkan produktiviti industri serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap getah import, kata Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 

Beliau berkata isu kekurangan buruh telah memberi kesan kepada produktiviti ladang getah kecil, dan penyatuan ladang-ladang tersebut akan menyelesaikan masalah itu.

 

"Dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang, kita akan menyaksikan pertumbuhan proses huluan sejajar dengan hiliran, trend itu akan mengurangkan import getah ke Malaysia. 

 

“Mungkin kita boleh mengurangkan importnya sebanyak 50% dalam 10 tahun," kata Johari semasa berucap di Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2024 hari ini. 

 

Menurut beliau, Malaysia dahulunya merupakan pengeksport getah terkenal tetapi kini menjadi pengimport getah terbesar berikutan pengurangan pengeluaran getah sejak beberapa tahun lalu.

 

"Sejak kebelakangan ini, industri hiliran berkembang dengan ketara tetapi huluan telah ditinggalkan. 

 

“Ini mengakibatkan kekurangan bekalan dan oleh itu, kita terpaksa mengimport," mengulas beliau. 

 

Ketika dalam sidang media, Johari berkata, terdapat kira-kira 420,000 hektar ladang getah terbiar.

 

Kawasan itu, katanya, boleh mengeluarkan antara 500,000 hingga 550,000 tan metrik getah setahun.

 

“Isu ini bukan senang diselesaikan kerana kos tinggi, ini kerana ladang getah terbiar sekian lama ini akan dipenuhi rumpai dan menjadi semak belukar. 

 

“Dalam perkara ini, LGM akan bekerjasama dengan Felcra Bhd untuk mengenal pasti ladang getah terbiar dan membersihkannya," katanya.

 

Selain itu, Johari menegaskan isu pekebun kecil enggan menjual tanah terbiar mereka merupakan antara kekangan dalam proses menyatukan ladang getah kecil.

 

Beliau berkata, sekiranya tanah terbiar itu dapat dipulihkan, kerajaan boleh menyediakan pekerja tempatan mahupun warga asing untuk menoreh pokok getah, tanpa menunggu peningkatan harga getah.

 

Para pekebun kecil sekarang semakin tua, katanya, dan anak-anak mereka yang berpendidikan universiti tidak berminat untuk menoreh getah.

 

Beliau berhasrat mencari jalan untuk menyatukan perkara ini. 

 

“Kita boleh membekalkan buruh dan LGM boleh memantau proses untuk memastikan dari masa ke masa, tahap import getah kita dapat dikurangkan," katanya.

 

Hari Teknologi LGM 2024 bertema "99 Tahun Penyelidikan Getah" bertujuan memperkenalkan dan mempromosikan teknologi terkini dalam industri getah.

 

Acara yang berlangsung selama dua hari itu turut dihadiri pihak berkepentingan industri getah seperti pekebun kecil, pemegang lesen dan wakil pemain industri getah.

 

Terdapat beberapa program termasuk Seminar Pekebun Kecil Getah, Bengkel Getah dan Persidangan Getah Ekonomi Kebangsaan 2024 bagi membincangkan isu semasa dalam industri getah.

 

Semasa majlis itu, Johari melancarkan logo 100 tahun Penyelidikan Getah dengan memperkenalkan inovasi terbaru daripada LGM, RRIMe-Formulary.

 


RRIMe-Formulary merupakan platform elektronik menawarkan pelbagai formulasi produk getah kering seperti produk getah industri, produk getah am dan produk tayar.

 


Sementara itu, majlis tersebut turut meraikan penerbitan buku LGM dan Jabatan Kastam Diraja bertajuk Glosari Klasifikasi Getah dan Produk Getah.


Buku tersebut merupakan rujukan dan panduan menyeluruh LGM dan JKDM mengenai istilah dan klasifikasi getah serta produk buatannya.

 

Selain itu, ia juga bahan rujukan bagi pemain industri, pihak berkepentingan dan pihak berkuasa terlibat dalam sektor getah di Malaysia.- DagangNews.com