SBH Marine catat untung bersih RM972,000 pada 1QFY24 didorong hasil sebanyak RM40.52 juta | DagangNews Skip to main content

SBH Marine catat untung bersih RM972,000 pada 1QFY24 didorong hasil sebanyak RM40.52 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Mei - SBH Marine Holdings Bhd yang tersenarai di Pasaran ACE Bursa Malaysia, baru-baru ini mencatatkan untung bersih sebanyak RM972,000 pada suku pertama berakhir 31 Mac 2024 (1QFY24) berdasarkan hasil RM40.52 juta yang diraih daripada pemprosesan serta penjualan produk makanan laut sejuk beku.

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, tiada angka perbandingan bagi suku tahun sebelumnya kerana tiada laporan kewangan interim disediakan oleh syarikat sebelum penyenaraiannya.

 

Katanya, hasil bagi suku berkenaan adalah lebih rendah berbanding suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Disember 2023 disebabkan pelbagai faktor termasuk kos bekalan udang dan kos pengangkutan lebih tinggi berikutan krisis Laut Merah.

 

"Selain itu, harga jualan udang yang dieksport ke luar negara secara relatifnya lebih rendah disebabkan oersaingan yang lebih tinggi dari negara Amerika Latin dan Amerika Tengah," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan kumpulan, Tan Boo Nam berkata, pihaknya menjangkakan ketidaktentuan global akan berterusan bagi tahun kewangan semasa tetapi kekal optimis terhadap prospek kumpulan.

 

Katanya, kumpulan itu akan terus menumpukan kepada penggunaan hasil tawaran awam permulaan (IPO) bagi mengukuhkan rantaian bekalan udang melalui pembangunan berterusan.

 

"Menjelang pertengahan 2024, kami menyasarkan untuk melengkapkan pembangunan tujuh kolam tambahan di Ladang Selinsing, memberikan kami sejumlah 37 kolam operasi di Ladang Selinsing selain 58 kolam di Ladang Kurau," katanya.

 

Beliau berkata, menjelang Sukan Olimpik Paris antara Julai hingga Ogos 2024, pihaknya menjangkakan permintaan makanan laut daripada negara Kesatun Eropah (EU) akan meningkat dengan ketara sejajar dengan kemasukan pelancong domestik dan antarabangsa. - DagangNews.com