SC lantik Kamarudin, Azalina sebagai pengarah urusan baharu | DagangNews Skip to main content

SC lantik Kamarudin, Azalina sebagai pengarah urusan baharu

Kamarudin Hashim (kiri) dan Datin Azalina Adham dilantik sebagai Pengarah Urusan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia berkuat kuasa 1 Januari 2023.
oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 3 Jan - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengumumkan pelantikan Kamarudin Hashim dan Datin Azalina Adham sebagai Pengarah Urusan yang baharu berkuat kuasa 1 Januari 2023.

 

SC juga mengumumkan bahawa Timbalan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin akan meletakkan jawatan pada 11 Januari 2023 bagi meneruskan kepentingan lain. 

 

Beliau telah memaklumkan perkara tersebut pada Lembaga SC pada Oktober 2022.

 

Sebagai Pengarah Urusan, Kamarudin dan Azalina akan membantu Pengerusi SC dalam menetapkan hala tuju strategik secara menyeluruh bagi pasaran modal Malaysia dan mentadbir dua mandat SC iaitu pembangunan dan pengawalseliaan pasaran modal.

 

Mereka juga akan kekal menyelia portfolio masing-masing dalamPenyeliaan Pasaran dan Korporat serta Strategi dan Dasar.

 

sc
Datuk Zainal Izlan Zainal Abidin

 

Pengerusi SC, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin berterima kasih kepada Datuk Zainal Izlan atas perkhidmatan cemerlangnya dan mengiktiraf sumbangan besar beliau kepada pembangunan pasaran modal.

 

“Datuk Zainal Izlan telah membantu menerajui pertumbuhan Pasaran Modal Islam, dan agenda Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) SC, baik di Malaysia mahupun di luar negara.

 

“Bagi pihak Lembaga Pengarah dan kakitangan SC, saya mendoakan yang terbaik dalam segala urusan beliau," katanya. - DagangNews.com