KUALA LUMPUR 19 Sept - Pengeluar produk konkrit pratuang Sarawak Consolidated Industries Bhd (SCIB) membeli tanah pajakan kosong seluas 2.49 hektar di Bintulu untuk menjalankan projek perumahan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata unit milik penuhnya SCIB Properties Sdn Bhd telah memeterai perjanjian dengan syarikat pelaburan hartanah Ginteck Sdn Bhd untuk memperoleh tanah itu pada harga RM9.23 juta.
"Pengambilalihan tanah itu adalah untuk mengembangkan operasi perniagaan Kumpulan SCIB melalui kerjasama dengan pemaju untuk bersama-sama membangun dan membina projek perumahan kediaman yang menggunakan produk perkilangan kami sendiri," tambah kumpulan itu.
SCIB berkata ia menjangka untuk menyelesaikan perjanjian itu pada 31 Dis dan akan memohon untuk menukar tanah daripada pertanian kepada pembangunan bercampur.
Pembelian tanah itu akan dibiayai oleh gabungan dana yang dijana secara dalaman dan pinjaman bank, kata kumpulan itu. - DagangNews.com