SCIB catat kerugian sebelum cukai RM45.9 juta bagi Q4 FY22 | DagangNews Skip to main content

SCIB catat kerugian sebelum cukai RM45.9 juta bagi Q4 FY22

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman

KUALA LUMPUR 26 OgosSarawak Consolidated Industries Berhad (SCIB) mencatatkan kerugian sebelum cukai (LBT) sebanyak RM45.9 juta terutamanya disebabkan oleh kerugian rosot nilai bersih dalam perdagangan dan penghutang lain sebanyak RM18.0 juta, bagi suku keempat berakhir 30 Jun 2022.

 

Kerugian tersebut juga disebabkan perbelanjaan yang dilakukan dalam pelbagai aktiviti berkaitan projek sebanyak RM25.0 juta daripada bahagian kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), kata syarikat itu dalam kenyataan di sini.

 

Bagaimanapun, daripada segi perolehan suku tahunan dalam tinjauan, SCIB mencatatkan hasil sebanyak RM26.2 juta terutamanya disebabkan oleh volum jualan cerucuk asas yang lebih tinggi daripada bahagian pembuatan.

 

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022, Syarikat mencatatkan hasil sebanyak RM128.4 juta dan LBT sebanyak RM52.0 juta. Tiada perbandingan untuk suku dan tahun kewangan penuh kerana Syarikat telah menukar akhir tahun kewangan dari 31 Disember seperti yang diumumkan sebelum ini kepada Bursa Malaysia Securities Berhad pada 24 Mei 2021.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SCIB, Rosland Othman berkata, SCIB optimis dengan berhati-hati kerana ekonomi domestik terus bertambah baik dengan pertumbuhan 8.9% tahun ke tahun bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2022.

 

“Pengumuman projek MRT3 bernilai RM50.0 bilion dan penerusan projek infrastruktur awam besar yang lain, turut menyumbang impak positif kepada sektor pembinaan dan perniagaan seperti kami kerana kami pastinya akan memanfaatkan kepakaran pembuatan dan EPCC kami untuk mencari peluang.”

 

“Kami telah memasuki Semenanjung Malaysia dengan memberi tumpuan kepada projek kecil hingga sederhana dan kami sedang meneroka peluang di Indonesia untuk pembinaan infrastruktur telekomunikasi 4G serta bagaimana kami boleh memanfaatkan kemudahan pembuatan kami untuk ibu negara Indonesia baharu di Nusantara di Kalimantan.

 

Menurutnya, SCIB akan terus mencari projek di Sabah dan Sarawak di mana masing-masing RM5.2 bilion dan RM4.6 bilion diperuntukkan di bawah Bajet 2022.

 

“Kami juga sedang meneroka penggunaan teknologi seperti sistem percetakan 3D dan automasi sebagai sebahagian daripada fasa seterusnya pertumbuhan dalam industri pembinaan,” kata beliau.

 

Sehingga 30 Jun 2022, SCIB mempunyai buku pesanan sebanyak RM1.52 bilion dengan potensi pendapatan sehingga 2026. – DagangNews.com