SDP didakwa kerah kanak-kanak, buruh paksa | DagangNews Skip to main content

SDP didakwa kerah kanak-kanak, buruh paksa

KUALA LUMPUR 8 Julai - Syarikat minyak sawit Malaysia, Sime Darby Plantation Bhd. (SDP) berdepan dengan dakwaan mengupah kanak-kanak dan buruh paksa di ladang tanaman yang menyalurkan sumber bekalan untuk syarikat makanan dan kosmetik Amerika Syarikat (AS).

Dakwaan tersebut dibuat oleh sebuah organisasi anti pemerdagangan manusia, Liberty Shared menerusi petisyen bagi menyekat aktiviti mengimport minyak sawit daripada syarikat berkenaan.

Menurut laporan agensi berita AP, petisyen terhadap SDP itu diserahkan kepada Kastam dan Perlindungan Sempadan AS.

"Akta Tarif AS 1930 melarang sebarang kemasukan barangan ke pelabuhan AS jika didapati barangan tersebut dihasilkan oleh buruh paksa.

SDP

Pengarah Urusannya, Duncan Jepson berkata, kumpulannya telah menemu ramah pekerja tempatan dan asing yang berkhidmat lebih daripada dua tahun serta masyarakat setempat bagi meneliti permasalahan tersebut.

Ketika proses merekrut, kanak-kanak dan buruh paksa itu diancam dan diugut, passport mereka ditahan, sekatan gaji dan kebajikan pekerja tidak dijaga.

"Syarikat berkenaan gagal memberi maklum balas segera berhubung dakwaan berkenaan," tambahnya.

Malaysia merupakan pengeluar kedua terbesar minyak kelapa sawit di dunia dan SDP adalah salah satu syarikat pengeluar terbesar sumber berkenaan.

Pada minggu ini, satu petisyen awam lain juga dibuat terhadap SDP dan beberapa syarikat minyak kelapa sawit terbesar di Malaysia bagi menuntut keadilan berhubung beberapa perkara berbangkit. 

Sebelum ini, industri minyak kelapa sawit berdepan dengan sekatan yang dilaksanakan oleh pasaran Kesatuan Eropah (EU) sekali gus menjejaskan nilai komoditi berkenaan. - DagangNews.com