Sebagai kawan, Ahmad Maslan bersaralah dari politik | DagangNews Skip to main content

Sebagai kawan, Ahmad Maslan bersaralah dari politik

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR
Kolumnis DagangNews.com

 

 

SATU lagi pertuduhan telah di lenyapkan bila Mahkamah Tinggi melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Pontian,  Ahmad Maslan atas dua pertuduhan. Tuduhan gagal mengisytiharkan wang RM2 juta diterima daripada bekas Perdana Menteri, Najib Tun Razak dan memberi pernyataan palsu.

 

Keputusan Hakim Datuk Ahmad Shahrir Mohd. Salleh selepas pihak pendakwaan memaklumkan untuk menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadap Ahmad Maslan berikutan tertuduh bersetuju untuk membayar kompaun berjumlah RM1.1 juta semalam.

 

Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan terhadap tertuduh Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama di masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan kompaun tersebut.

 

Ahmad Maslan, 55, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 21 Januari 2020 di atas semua pertuduhan tersebut sebelum ini.

 

Mengikut pertuduhan pertama, Ahmad didakwa menerima wang RM2 juta daripada Najib yang dipercayai sebagai hasil aktiviti yang menyalahi undang-undang, melalui cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, dan cek itu telah ditunaikan sendiri oleh Ahmad, pada hari yang sama.

 

Kesalahan itu didakwa dilakukan pada 30 April 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Cawangan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini.

 

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

BACA JUGA : SPRM: Kompaun RM1.1 juta ke atas Ahmad Maslan adalah tindakan punitif

 

Pertuduhan kedua, Ahmad didakwa memberi pernyataan palsu kepada SPRM ketika percakapannya dirakam oleh pegawai penyiasat iaitu Ketua Penolong Kanan Penguasa, Mohd. Zairi Zainal antara pukul 2.45 petang hingga 3.30 petang pada 4 Julai 2019, di bilik sidang media, Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini berhubung cek tersebut.

 

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 32(8)c) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

 

Dengan ini, peluang menjadi calon Timbalan Speaker tentu menjadi cerah atas sebab sebelum ini tidak layak kerana Ahmad digolongkan dalam kategori Kluster Mahkamah.

 

 

fudzail

 

 

Mas Emiryati dan Mustapha Mohamad juga turut menerima wang dari sumber yang sama, Najib Razak.  Namun tidak dikenakan apa apa dakwaan dan dipersoalkan oleh Sharir Samad atas sebab apa mereka tidak dikenakan dakwaan.

 

Begitulah keluarga Malaysia dengan membayar kompaun lantas dibebaskan. Bukan sedikit kompaun yang dikenakan namun Ahmad mempunyai wang untuk membayar.

 

Ahmad merupakan kawan saya sewaktu belajar di New Zealand dan merupakan junior dua tahun. Kami di New Zealand agak rapat biarpun berlainan universiti di mana saya di Hamilton dan Ahmad di Wellington.

 

Saya agak aktif dengan persatuan pelajar dan pernah menjadi presiden Persatuan Pelajar Waikato dan Ahmad sebagai presiden kelab Umno. Antara kemuncak ialah melawan MSD Wellington diatas pengguguran biasiswa terhadap seorang pelajar perempuan yang menyertai Al Arqam. Waktu itu Al Arqam sedang aktif di New Zealand pada tahun 1985 dan ramai pelajar masuk Al Arqam.

 

Ustaz Ashari pernah ke New Zealand dan duduk di Hamilton dengan isterinya sebelum ke tempat lain. Kumpulan pelajar menubuhkan Al Arqam di Chrischurch rasanya dan menjadi pusat kegiatan.

 

Waktu itu kegiatan pelajar New Zealand dipenuhi dengan ceramah Al Arqam. Beberapa pelajar menjadi ketua dan ramai yang berkahwin antara satu sama lain. Perkahwinan antara pelajar ini turut mengundang campur tangan MSD. Saya tidak ingat sejauh mana MSD menjalankankan penglibatan kerana tidak di tempat saya Hamilton. Bandar-bandar Auckland, Weliington, Christchurch dan Dunedin terlibat dengan percampuran Al Arqam.

 

Ramai ustaz-ustaz Al Arqam yang datang ke New Zealand untuk mengahwini pelajar. Ada lima badge rasanya waktu itu sebelum kerajaan memutuskan untuk tidak menghantar lagi pelajar.

 

 

zulkifli noordin
ZULKIFLI NOORDIN

 

 

Saya pernah terpilih bersama Zulkifli Noordin dan Ahmad Maslan untuk mengikuti kursus yang diadakan di Kuala Lumpur. Kursus selama seminggu untuk mengadaptasi antaranya perjuangan parti Umno. Hanya kami bertiga duduk di asrama dengan tiap hari diisi dengan ucapan dan ceramah ramai yang dijemput.

 

Selepas itu Zulkifli Noordin dan Ahmad Maslan memasuki Kelab Umno dan seterusnya bila pulang Zulkifli kemudian menjadi Ahli Parlimen Kulim di bawah PKP sewaktu reformasi dan Ahmad Mazlan sebagai ahli Parlimen Pontian di bawah Umno.

 

Saya sebentar pada tahun 1994 menyertai Umno dibawah tajaan Tan Sri Jamaluddin Jarjis atau JJ yang juga saudara mara. Saya hanya menyertai untuk sebulan kerana isu politik wang di Rompin.

 

Saya seorang yang ideal dan tidak menggunakan wang untuk berkuasa, pada masa itu calon ketua pemuda Umno. Saya tarik diri dari Umno sekaligus dan terlibat dengan Reformasi bersama Zulkifli.

 

Saya tidak lagi berminat dengan politik sewaktu terkena strok dan OKU pada ogos 2018. Dengan memenangi 5 Hadiah Sastera Perdana Malaysia, 9 Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, Hadiah Novel dan lain-lain, menulis kolum, rencana, cerpen, puisi di akhbar serta portal dalam talian yang beratus saya meneruskan bidang penulis walaupun terlupa 100% akibat strok.

 

 

fudzail
Sebagai kawan, saya mengharapkan Ahmad Maslan berfikir dua kali sebelum meneruskan bidang politik. Dalam tahun 2021, kita tidak diperlukan lagi dan berilah peluang kepada orang muda!

 

 

DISCLAIMER : Kandungan artikel ini tidak semestinya menggambarkan pendirian Sidang Editorial DagangNews.com