KUALA LUMPUR 19 April - Kenanga Research mengunjurkan penguncupan kecil sebanyak 1% bagi segmen akhbar pada tahun ini berbanding perkembangan pada kadar sebelum ini.
Pada masa sama, firma itu juga menyemak turun unjuran segmen digital kepada 6% berbanding 10% sebelumnya.
Katanya, walaupun perbelanjaan periklanan (adex) meningkat secara bermusim, namun perkembangan pada suku pertama 2023 adalah perlahan.
"Walaupun ia mungkin disebabkan oleh asas luar yang kukuh pada suku pertama tahun lalu, namun kami mengurangkan unjuran 2023 kerana berpandangan lebih konservatif.
"Secara keseluruhan, kami mengurangkan unjuran pertumbuhan adex setahun penuh kepada 1.5% berbanding 2.8% sebelum ini," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma itu berkata, bagi suku pertama 2023, segmen digital berjaya mendapatkan kembali sebahagian bahagian pasaran yang hilang semasa suku keempat 2022 dengan memperoleh tiga mata dan berkembang kepada 21% daripada keseluruhan adex.
Radio (6%) dan surat khabar (14%) kehilangan bahagian pasaran masing-masing sebanyak 2 ppt dan 1 ppt, berikutan penurunan adex.
Siaran televisyen percuma berjaya menguasai sebahagian pasaran, berkembang sedikit sebanyak 1 ppt kepada 56% daripada keseluruhan adex.
Firma itu menjangkakan, adex bagi 2023 akan terkesan memandangkan ekonomi global yang perlahan dan kekurangan acara sukan utama seperti Sukan Olimpik dan Piala Dunia.
Katanya, prospek media akan terus terkesan memandangkan kekurangan pemangkin utama dan berdepan tekanan daripada seluruh pasaran.
"Bagaimanapun, kami terus melihat tekanan kos semakin berkurangan sepanjang tahun," katanya.
Firma itu kekal neutral terhadap sektor itu. - DagangNews.com