Segmen hartanah diunjur terus berkembang didorong kekukuhan ekonomi domestik, kata CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Segmen hartanah diunjur terus berkembang didorong kekukuhan ekonomi domestik, kata CGS-CIMB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Jun - CGS-CIMB Research menjangkakan segmen hartanah akan terus mencatatkan perkembangan pada tahun ini dengan kebanyakan pemaju di bawah liputan firma penyelidikan itu meletakkan sasaran jualan yang tinggi.

 

Firma itu berkata, sasaran yang ditetapkan itu adalah berdasarkan ekonomi domestik yang semakin kukuh.

 

Katanya, Mah Sing menetapkan jualan RM2.2 bilion pada FY23 (FY22: mencapai RM2.12 bilion) dan SP Setia pada RM4.2 bilion (FY22: RM4.11 bilion), manakala Sime Darby Property (SD Property) menyasarkan jualan RM2.3 bilion yang lebih sederhana untuk FY23 (selepas mencapai jualan RM3.7 bilion pada FY22).

 

"Bagaimanapun, SD Property secara konsisten telah melepasi sasaran jualannya sendiri sejak lima tahun lalu.

 

"Selain itu itu, pemaju di bawah liputan kami mempunyai jualan tidak dibil yang tinggi dengan jumlah RM20 bilion pada suku pertama 2023, yang diterjemahkan kepada anggaran nisbah perlindungan sehingga 2.0x," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, purata nisbah kelulusan dan permohonan pinjaman gadai janji bertambah baik kepada 0.41x sepanjang tahun lalu (April 2022 hingga Mac 2023), berbanding 0.37x dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya.

 

Katanya, nisbah yang dipertingkatkan adalah lebih hampir kepada tahap pra-pandemik sebanyak 0.43x. 

 

"Begitu juga, pada 3%, kadar dasar semalaman (OPR) telah kembali ke tahap pra-pandemik, ekonomi domestik dilihat berdaya tahan berasaskan penggunaan domestik dan pengangguran yang rendah," katanya.

 

Firma itu melihat potensi positif dan menyemak naik penarafan sektor itu kepada 'overweight' dan SD Property serta Mah Sing menjadi pilihan utama.

 

Bagaimanapun, sektor itu berdepan beberapa cabaran termasuk jualan yang lebih lemah daripada jangkaan dan lonjakan kos bahan mentah serta gangguan bekalan tenaga kerja asing. - DagangNews.com