Sekatan AS : FGV muktamadkan pelantikan audit bebas Ogos depan | DagangNews Skip to main content

Sekatan AS : FGV muktamadkan pelantikan audit bebas Ogos depan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Jun - FGV Holdings Berhad sedang mengemukakan tawaran kepada organisasi berpotensi dan akan memuktamadkan pelantikan juruaudit bebas pada Ogos 2021 berhubung Perintah Pelepasan Tahan (WRO) yang dikeluarkan oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS).

 

Menurut FGV, syarikat dijangka mengemukakan laporan penilaian beserta cadangan pelan pemulihan syarikat untuk pertimbangan CBP dalam tempoh lapan bulan selepas perlantikan juruaudit bebas tersebut.

 

“FGV memandang serius sebarang kebimbangan yang dibangkitkan berhubung hak asasi manusia dan amalan buruhnya, termasuk WRO oleh CBP. 

 

“FGV bertekad untuk mengambil semua langkah yang perlu untuk membatalkan WRO, dan akan melantik juruaudit bebas untuk menjalankan penilaian operasi FGV terhadap 11 Petunjuk International Labour Organization (ILO) berkaitan Buruh Paksa, seperti yang dinasihati oleh CBP,” jelas FGV dalam satu kenyataan hari ini.

 

AS menerusi CBP mengeluarkan WRO ke atas produk minyak sawit yang dihasilkan oleh FGV dan anak syarikatnya, serta syarikat usaha sama pada 30 September 2020.  

 

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, FGV berkata, syarikat telah memberi tumpuan kepada usaha ke arah memastikan pematuhan terhadap hak asasi manusia dan standard buruh. 

 

Usaha-usaha itu diperhebatkan lagi sejak awal 2019 terutamanya melalui kerjasama FGV dengan Fair Labor Association (FLA), yang merupakan program jangka panjang dalam menambah baik struktur dan sistem amalan buruh di organisasinya. 

 

Pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan di bawah program ini, dengan tumpuan antara lainnya untuk memperbaiki proses pengambilan pekerja migran FGV, membangunkan program latihan dan membina keupayaan hak asasi manusia, memperkukuh mekanisme rungutan serta mempertingkatkan lagi sistem pemantauan buruh.

 

Sebagai rekod, pada November 2020, FGV menubuhkan Jawatankuasa Kerja Pekerja Asing (FWWC) untuk memberi tumpuan terhadap penambahbaikan berterusan berhubung kemudahan infrastruktur yang akan mengukuhkan lagi amalan buruhnya. 

 

Ini termasuk menaik taraf perumahan pekerja, meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan dengan menubuhkan klinik di kawasan berjauhan serta menaik taraf kemudahan untuk menyediakan bekalan air dan elektrik tanpa gangguan di kawasan yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik dan bekalan air yang disediakan kerajaan.

 

Syarikat turut melaksanakan sistem e-Dompet FGV untuk pembayaran gaji yang lebih mudah dan transaksi tanpa tunai, serta menubuhkan kedai mudah alih FGV untuk menyediakan akses tetap kepada bekalan makanan segar.

 

“FGV mengakui bahawa menegakkan standard buruh adalah usaha berterusan, dan komited dalam memberi keutamaan ke atas usaha untuk memajukan agenda kemampanan dan hak asasi manusia. 

 

“Syarikat akan membuat pengumuman selanjutnya jika terdapat sebarang perkembangan penting berhubung perkara ini,” ujar FGV lanjut. - DagangNews.com