Sektor koperasi: 301 permohonan beroperasi diluluskan | DagangNews Skip to main content

Sektor koperasi: 301 permohonan beroperasi diluluskan

Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM)

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Sebanyak 301 permohonan sektor koperasi diluluskan untuk meneruskan aktiviti ekonomi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuatkuasa di seluruh negara.

 

Pengarah Bahagian Penyeliaan dan Tadbir Urus Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Ibrahim Kasah berkata, jumlah tersebut adalah daripada 493 permohonan yang diterima daripada sektor koperasi dan bukan koperasi yang terlibat dalam sektor ekonomi koperasi.

 

Menurutnya, sebanyak 301 permohonan diluluskan iaitu dua permohonan daripada Co-opbank termasuk Co-opbank Pertama dan Bank Rakyat, 211 koperasi kredit dan 88 Ar -Rahnu untuk beroperasi.

 

Permohonan aktiviti ekonomi itu bagaimanapun perlu mendapat kelulusan menerusi sistem COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang dikelolakan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum mendapat kelulusan SKM.

 

"Bagaimanapun, bagi sistem ini kami menolak sejumlah 192 permohonan yang tidak layak kerana bukan kluster, koperasi tidak berdaftar, koperasi memberi maklumat salah dan syarikat.

 

“Permohonan bukan sektor koperasi itu bermaksud koperasi yang tidak menjalankan aktiviti Co-opbank, kredit atau Ar-Rahnu.

 

“Sehingga kini, permohonan yang paling tinggi diluluskan adalah koperasi di sekitar Wilayah Persekutuan dengan jumlah 117 permohonan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Tiga sektor koperasi yang boleh membuat permohonan beroperasi daripada SKM adalah Sektor Perkhidmatan Kewangan termasuk Co-opbank, koperasi kredit dan ArRahnu.

 

Beliau memberitahu, pihaknya melalui Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan koperasi bersesuaian menjalankan aktiviti ekonomi semasa PKP.

 

Katanya, SKM turut mempunyai senarai nama koperasi yang mempunyai aktiviti yang  dibenarkan dan prosedur operasi standard (SOP) dipersetujui oleh MEDAC untuk koperasi beroperasi sepanjang PKP 3.0.

 

“Bagi Sektor Pemborongan dan Peruncitan, Sektor Perladangan dan Asas Tani serta Sektor Pembinaan, perlu memohon dengan kementerian yang berkenaan untuk membolehkan koperasi meneruskan aktiviti dan beroperasi.
 

“Sebagai contoh, koperasi yang menjalankan aktiviti pemborongan dan peruncitan perlu memohon kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDHEP), manakala aktiviti perladangan ke Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia dan sebagainya," ujar beliau lagi.

 

Mengulas berkaitan perbezaan kaedah pengoperasian koperasi berbanding PKP 1.0 lalu, beliau memberitahu, tempoh waktu operasi dipendekkan kepada 9 pagi hingga 2 petang berbanding 4 petang pada PKP 1.0 selain jumlah kakitangan yang dihadkan. - DagangNews.com