Sektor perbankan dijangka catat pertumbuhan untung bersih sebanyak 6.8% bagi FY24, kata Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan dijangka catat pertumbuhan untung bersih sebanyak 6.8% bagi FY24, kata Maybank IB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) menjangkakan sektor perbankan mencatatkan pertumbuhan untung bersih sebanyak 6.8% pada tahun ini berbanding 5.5% pada tahun lalu dipacu oleh pendapatan bukan faedah (NOII).

 

Katanya, pada suku pertama 2024, terdapat perkembangan positif dengan pertumbuhan pinjaman yang mampan dan perkembangan margin positif.

 

"Bagaimanapun, perbelanjaan berkembang lebih cepat daripada yang dijangkakan dalam beberapa kes, dan kos kredit lebih tinggi dari tahun ke tahun," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
 

Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan operasi kumulatif meningkat 12%, diterajui oleh pertumbuhan pinjaman yang teguh (7.9%), margin faedah bersih (NIM) yang lebih tinggi (5bps) dan NOII yang lebih tinggi (29%).

 

Katanya, perbelanjaan operasi bagaimanapun meningkat 12% dan hasilnya, keuntungan operasi meningkat 11%.

 

"Kos kredit adalah lebih tinggi dan dengan itu kumulatif teras pracukai dan keuntungan bersih meningkat hanya 8%.

 

"Ini berbanding dengan pertumbuhan keuntungan sebelum cukai hanya 3% pada 2023 (keuntungan bersih 2023 meningkat 14%, tetapi dibantu oleh ketiadaan Cukai Makmur)," katanya.

 

Maybank IB berkata, NIM dijangka kekal stabil manakala nisbah kos kepada pendapatan (CIR) agregat dijangka turun sedikit pada 44.7% (44.9% pada 2023).

 

"Kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan bersih teras kepada 6.8% daripada 5.5%, didorong oleh pertumbuhan keuntungan operasi yang lebih pantas, sebahagiannya dikurangkan oleh purata kos kredit yang lebih tinggi sebanyak 24bps berbanding 23bps pada 2023.

 

"Menjelang 2025, kami mengunjurkan pertumbuhan keuntungan operasi sebanyak 5.5% dan pertumbuhan keuntungan bersih teras sebanyak 6.1%," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'positif' terhadap sektor itu. - DagangNews.com