Sektor perbankan diramal capai pertumbuhan untung bersih hingga 6% pada 2Q didorong penyusutan LLP - CGS International | DagangNews Skip to main content

Sektor perbankan diramal capai pertumbuhan untung bersih hingga 6% pada 2Q didorong penyusutan LLP - CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Ogos - CGS International meramalkan penyusutan peruntukan kerugian pinjaman (LLP) akan membantu sektor perbankan mencapai pertumbuhan untung bersih antara 5% hingga 6% pada suku kedua tahun ini.

 

Katanya, keadaan itu akan memacu pendapatan aedah bersi antara 3% hingga 4% dan pertumbuhan satu digit pertengahan bagi pendapatan bukan faedah (NOII) berbanding kenaikan 6% hingga 7% dari segi kos. 

 

"Kami menganggarkan LLP bank menurun dari suku tahun ke suku tahun pada suku kedua 2024 daripada RM1.41 bilion pada suku pertama tahun ini.

 

"Ia adalah hasil daripada daripada penguncupan RM265 juta dari suku tahun ke suku tahun dalam jumlah peruntukan bank pada suku kedua 2024 kepada RM32 bilion pada akhir Jun 2024, berdasarkan statistik bulanan yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

"Dengan ini, LLP suku kedua berada dalam julat antara RM1.3 bilion hingga RM1.5 bilion yang kami unjurkan dalam laporan sebelum ini. Pada asas tahun ke tahun, LLP bank berkemungkinan stabil atau menyusut sedikit pada suku kedua tahun ini (berbanding RM1.34 bilion pada suku kedua tahun lalu)," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, antara perkembangan positif dalam statistik Jun 2024 ialah peningkatan pertumbuhan pinjaman daripada 5.8% pada penghujung Mei kepada 6.4% pada akhir Jun dengan peningkatan terutamanya daripada segmen pinjaman perniagaan (+5.6% pada akhir Jun 2024 berbanding +4.8% pada akhir Mei 2024).

 

Katanya, ia akan menjadi petanda yang baik untuk pengembangan tahun ke atas pendapatan faedah bersih bank pada suku kedua.

 

"Kami mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor itu berdasarkan pemangkin penarafan semula seperti penyambungan semula pertumbuhan pendapatan faedah bersih pada 2024 di tengah-tengah penstabilan margin faedah bersih dan pertumbuhan pendapatan yuran yang kukuh daripada pasaran modal yang rancak dan peningkatan aktiviti ekonomi.

 

"Selain itu, ia juga didorong potensi hapus kira dalam tindanan pengurusan, dan peningkatan dalam nisbah pembayaran dividen bank," katanya. - DagangNews.com