Sektor pertanian kawasan PKPD Cameron Highlands dibenar beroperasi | DagangNews Skip to main content

Sektor pertanian kawasan PKPD Cameron Highlands dibenar beroperasi

.

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 16 Jun - Sektor pertanian serta rantaiannya di mana-mana kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti Cameron Highlands dibenarkan untuk terus beroperasi sepanjang masa.

 

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, persetujuan yang dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri itu selaras dengan keputusan kerajaan yang meletakkan sektor pertanian, perikanan dan penternakan serta rantaiannya sebagai satu perkhidmatan perlu (essential services) yang boleh beroperasi sepanjang masa.

 

"Sidang Mesyuarat Khas MKN: Pengurusan COVID-19, Bilangan 38 Tahun 2021 pada 14 Jun 2021 juga telah bersetuju supaya sektor pertanian di seluruh negara termasuk kawasan PKDP dibenarkan untuk terus beroperasi.

 

"Keputusan tersebut turut merangkumi sektor florikultur dan bunga hiasan yang juga dibenarkan beroperasi seperti mana sektorsektor pertanian yang lain.

 

"Keputusan ini juga telah dimaklumkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak penguatkuasa lain supaya membenarkan pergerakan keluar masuk lori-lori yang mengangkut hasil pertanian termasuk sayur-sayuran dan buah-buahan dari kawasan PKPD bagi membolehkan penghantaran dari ladang-ladang dapat diteruskan dari Cameron Highlands," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Keputusan tersebut penting bagi memastikan bekalan makanan negara tidak terganggu dalam apa jua keadaan.

 

Masalah operasi pekebun di peringkat ladang, pembungkusan dan logistik di Cameron Highland berlaku susulan pelaksanaan PKPD di beberapa kawasan di Cameron Highlands bermula 14 hingga 27 Jun 2021.

 

Situasi berkenaan menyebabkan hasil pertanian sebanyak 500 tan metrik tidak dapat diedar keluar ke pasaran kerana pekerja yang berada di kawasan tersebut tidak dapat keluar ke ladang.

 

Kenderaan seperti lori yang mengangkut hasil pertanian turut tidak dapat keluar dari kawasan PKPD.

 

Tambah beliau lagi, sektor pertanian juga akan terus dibenarkan beroperasi dalam Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara, selaras dengan persiapan untuk negara keluar daripada pandemik COVID-19.

 

"Diharapkan dengan keputusan kerajaan dalam hal ini dapat meredakan isu pergerakan bekalan sayur-sayuran selain turut melegakan para petani dan pemain industri sektor pertanian di kawasan yang terlibat dengan PKPD khususnya Cameron Highlands," ujar beliau. - DagangNews.com