Selangor Dredging ambil alih tanah Xtra Touch berharga RM87.9 juta di Sepang | DagangNews Skip to main content

Selangor Dredging ambil alih tanah Xtra Touch berharga RM87.9 juta di Sepang

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 31 Okt - Selangor Dredging Berhad menerusi anak syarikatnya, Prestij Permai Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli (SPA) bersama Xtra Touch Sdn Bhd bagi mengambil alih tanah pajakan kosong bersama dengan kerja tanah berharga RM87.9 juta di Dengkil, Sepang.

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Prestij Permai akan menggunakan tanah seluas 11.8 hektar itu untuk kegunaan bagi pembangunan 550 unit rumah teres dua dan tiga tingkat dengna nilai pembangunan kasar (GDV) dijangka mencecah RM609 juta.

 

Tanah itu terletak berhampiran kawasan perbandaran Taman Putra Perdana, Sepang.

 

Kawasan itu boleh diakses dari jalan utama Jalan Putra Perdana dan berdekatan dengan lebuh raya utama seperti Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite), Lebuhraya Maju (MEX) dan Putra Link selain berhadapan tasik seluas lapan hektar.

 

"Jumlah kos pembangunan, jangkaan permulaan, tarikh siap pembangunan dan jangkaan keuntungan yang akan diperolehi daripada pembangunan tanah masih belum dapat dipastikan pada ketika ini kerana rancangan pembangunan terperinci masih belum dimuktamadkan," katanya.

 

Pengambilalihan itu tidak akan mempunyai sebarnag kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham utama syarikat kerana harga belian akan dipenuhi sepenuhnya secara tunai.

 

Pemerolehan itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan material ke atas pendapatan disatukan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024 kumpulan.

 

Bagaimanapun pengambilalihan dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan jangka sederhana dan panjang kumpulan. - DagangNews.com