KUALA LUMPUR 19 Julai - Selangor akan meningkatkan kadar vaksinasi sehingga 300,000 dos sehari menjelang penghujung bulan ini.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, peningkatan itu dibuat dalam usaha menurunkan angka kes jangkitan COVID-19 seterusnya bersedia beralih ke Fasa Kedua atau Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) akhir Ogos nanti.
Menurut beliau, hasil mesyuarat dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Jumaat lalu, Selangor perlu meningkatkan dos vaksinasi kepada 272,000 dos daripada 165,000 dos sehari yang dipersetujui sebelum ini.
Katanya, jumlah itu adalah hasil daripada pelaksanaan program Selangor Vaksin (Selvax), PICK dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang dijalankan serentak di Selangor.
"Melalui Selvax juga kita mampu tambah lagi 40,000 dos sehari, jadi saya rasa kita boleh capai lebih 270,000 ke 300,000 dos sehari,
"Perkara ini selaras dengan usaha kerajaan persekutuan melalui Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19 menjelang 1 Ogos ini.
"Kalau semua dapat berjalan dengan betul, hujung Ogos saya rasa Selangor dah boleh masuk ke Fasa Kedua atau ke Fasa Ketiga Pelan Pemulihan Negara dengan angka kes jangkitan dapat dikurangkan, sebagaimana data dan usaha yang telah dilakukan di Labuan," katanya seperti dilapor Harian Metro.
Hingga semalam, Lembah Klang yang meliputi Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor mencatatkan peratusan populasi divaksin sebanyak 45.9% bagi dos pertama.
Bagi penerima dos kedua pula, Lembah Klang mencatatkan peratusan sebanyak 14.6% bagi tempoh sama.
Sebanyak 62.7% golongan dewasa di kawasan berkenaan berjaya menerima suntikan pertama dan 19.9% telah melengkapkan dua dos suntikan. - DagangNews.com