Selepas diesel, rasionalisasi susbsidi petrol RON95 perlu dilakukan - CAP | DagangNews Skip to main content

Selepas diesel, rasionalisasi susbsidi petrol RON95 perlu dilakukan - CAP

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jun - Rasionalisasi subsidi petrol RON 95 akan menghasilkan penjimatan lebih besar kepada kerajaan dan ia perlu dijadikan langkah seterusnya selepas pelaksanaan subsidi diesel bersasar, kata Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

 

Presidennya Mohideen Abdul Kader berkata, kumpulan yang terjejas dengan dasar rasionalisasi bahan api boleh diberi bantuan kewangan untuk menghadapi peningkatan kos.

 

"Subsidi bahan api, termasuk diesel, berjumlah RM60 bilion setahun iaitu 1.5 kali ganda jumlah yang diperuntukkan untuk penjagaan kesihatan (sekitar RM40 bilion) dalam Bajet 2024. Sebuah hospital moden 1,000 katil berharga antara RM1.3bil dan RM 1.4bil.

 

"Kita boleh mempunyai hospital yang lebih lengkap dan penjagaan kesihatan yang jauh lebih baik dengan wang daripada subsidi yang dihapuskan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau berkata, harga petrol bersubsidi Malaysia (RON 95) menjadikannya paling murah di sembilan negara ASEAN.

 

“Harga petrol di Malaysia adalah 47.44% kurang daripada di Indonesia (RM3.90) dan 54.24% kurang daripada Vietnam (RM4.48).

 

"Pada 2020, kerajaan membelanjakan RM4.66 bilion untuk jumlah subsidi; pada 2021, RM13.13 bilion; dan pada 2022, hampir RM80 bilion yang disifatkan sebagai yang tertinggi dalam sejarahnya," katanya.

 

Mohideen berkata, bermula dengan subsidi diesel bersasar, yang dilaksanakan bermula 10 Jun 2024 adalah langkah tepat kerana subsidi seharusnya diberikan kepada mereka yang memerlukan dan untuk semua orang tanpa mengira status ekonomi.

 

“Dengan melaksanakan dasar rasionalisasi ini, kerajaan akan mempunyai RM4 bilion, mungkin lebih, untuk pembangunan ekonomi dan kebajikan sosial," katanya..

 

“Subsidi mesti diberikan kepada individu, kumpulan dan perniagaan yang disasarkan dan tidak dirampas oleh unsur rasuah.

 

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup perlu memantau harga barangan dan perkhidmatan bagi mengelak pencatutan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan daripada pemansuhan subsidi diesel.

 

“Menurut pakar ekonomi, ia hanya akan memberi kesan minimum kepada kos menjalankan perniagaan mereka. Oleh itu, tiada justifikasi untuk menaikkan harga dan tindakan tegas mesti diambil terhadap pencatut termasuk mendakwa mereka dan membatalkan lesen mereka,” katanya.

 

Mohideen berkata dengan penjimatan subsidi bahan api, kerajaan harus menambah baik pengangkutan awam yang pada umumnya kekurangan di negara ini, memastikan perkhidmatan yang kerap serta sistem bas pengantara yang cekap untuk kemudahan yang lebih baik kepada penumpang. - DagangNews.com