Selepas dilantik CEO BCorp, Jalil kini anggotai lembaga pengarah Cardiff City FC | DagangNews Skip to main content

Selepas dilantik CEO BCorp, Jalil kini anggotai lembaga pengarah Cardiff City FC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 16 Julai - Abdul Jalil Abdul Rasheed menambah satu lagi profail menarik dalam kariernya apabila dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Kelab Bola Sepak Cardiff City yang berpangkalan di Wales.

 

Dengan pelantikan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Corporation Bhd. (BCorp) ini akan membantu secara langsung kelab bola sepak itu dari merancang dan membuat keputusan strategik. 

 

Beliau juga akan bekerjasama erat dengan Tan Sri Vincent Tan, Pengerusi Mehmet Dalman dan Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif, Ken Choo.

 

"Kami yakin penyokong City bersama Lembaga Pengarah dan Kelab akan mengalu-alukan kehadiran dan pelantikan Abdul Jalil dan bersama-sama mencipta kejayaan ke arah masa depan yang makmur," menurut kelab bola sepak itu dalam kenyataan di laman webnya.

 

Memiliki pengalaman 18 tahun dalam bidang pelaburan global, Abdul Jalil bertugas dengan pelbagai firma antaranya, Abrdn & Invesco di peringkat peringkat pengurusan tertinggi kanan di Eropah dan Asia. 

 

Sebelum ini, beliau merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Pelaburan Nasional Bhd. (PNB), dan paling muda memegang jawatan tersebut. 

 
Menerusi Twitternya, Abdul Jalil merakamkan penghargaan kepada Cardiff City FC kerana beliau diberi kepercayaan memegang jawatan tersebut.

 

cardiff

 

"Saya rasa berbangga dan terharu diberi peluang terlibat dalam sukan yang saya minati. Meskipun saya tidak berada di sana disebabkan sekatan pergerakan, tetapi saya tetap memberi sokongan dari jauh.

 

"Terima kasih Cardiff City FC," kongsi beliau dalam ciapan tersebut. - DagangNews.com