Sentimen pembeli lebih baik, MIDF Research positif terhadap prospek sektor hartanah | DagangNews Skip to main content

Sentimen pembeli lebih baik, MIDF Research positif terhadap prospek sektor hartanah

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Mac - MIDF Research positif terhadap prospek sektor hartanah didorong sentimen pembeli yang lebih baik dan permintaan yang lebih kukuh.

 

Katanya, jualan baharu syarikat hartanah juga diunjur bertambah baik dan akan diterjemahkan kepada keterlihatan pendapatan yang lebih baik pada masa akan datang.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat hartanah secara amnya lebih optimis mengenai prospek FY24 dengan menetapkan sasaran jualan baharu yang lebih tinggi terutamanya Sunway Bhd yang menyasarkan jualan sebanyak RM2.6 bilion pada FY24 selepas kejayaan mencatatkan jualan sebanyak RM2.4 bilion pada tahun lalu.

 

Mah Sing Group Bhd juga menetapkan sasaran jualan baharu yang lebih tinggi sebanyak RM2.5 bilion pada tahun ini selepas merekodkan jualan sebnayak RM2.26 bilion pada FY23.

 

"Data permohonan pinjaman mencatatkan permulaan baik pada Januari 2024 selepas mencatatkan peningkatan 46.5% dari tahun ke tahun kepada RM51 bilion didorong sentimen belian hartanah kekal sihat.

 

"Melangkah ke hadapan, kami positif bahawa permintaan hartanah akan menjadi lebih kukuh bagi 2024 memandangkan landskap sektor itu dijangka lebih baik," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Jumlah kediaman tidak terjual turun 7% kepada 25,816 unit pada 2023 - NAPIC

 

Terdahulu, Laporan Pasaran Hartanah 2023 Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), bilangan kediaman tidak terjual turun kepada 25,816 unit pada 2023, berbanding 27,746 unit pada 2022.

 

Nilai unit kediaman tidak terjual juga merosot 4% kepada RM17.68 bilion pada 2023, daripada RM18.41 bilion setahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai Mah Sing kerana strategi pemulihan pantas dan pendedahan tinggi kepada rumah mampu milik melalui projek siri M selain kehadirannya dalam segmen hartanah industri akan menyokong pertumbuhan pendapatan dalam jangka sederhana hingga panjang.

 

"Kami juga menyukai Matrix Concepts Holdings Bhd kerana jualan baharunya kekal menggalakkan manakala pengembangan bank tanah di Labu akan meningkatkan lagi pertumbuhan pendapatan kumpulan itu," katanya. - DagangNews.com