September 2020: Jualan perdagangan borong, runcit pertama kali meningkat sejak 6 bulan | DagangNews Skip to main content

September 2020: Jualan perdagangan borong, runcit pertama kali meningkat sejak 6 bulan

  

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 10 Nov. - Nilai jualan perdagangan borong dan runcit merekodkan RM110.8 bilion pada bulan September 2020 dengan pertumbuhan  0.2% tahun ke tahun. 

Ini merupakan pertumbuhan positif pertama yang dicatatkan selepas penularan wabak COVID-19, dipacu oleh kenderaan bermotor yang merekodkan 17.1% atau peningkatan sebanyak RM2.0 billion

Perdagangan runcit juga meningkat sederhana kepada 1.1% (RM0.5 bilion). 

Sebaliknya, perdagangan borong menurun sebanyak 4.2% (-RM2.3 bilion) pada tempoh yang sama.

Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr. Uzir Mahidin berkata, indeks volum perdagangan borong dan runcit berada di landasan positif untuk mencatatkan 0.1% untuk mencapai 130 mata berbanding bulan  yang sama tahun sebelumnya. 

 

Uzir Mahidin
Uzir Mahidin

 

“Perdagangan borong menjana jualan sebanyak RM52.5 bilion pada September 2020, penurunan RM2.3 bilion (-4.2%) berbanding bulan September 2019. Lain-lain pengkhususan jualan borong dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran merosot masing-masing 14.2% dan 8.3% berbanding tahun sebelumnya.

"Bagi perbandingan antara bulan, jualan bagi subsektor itu meningkat 1.2%.

“Indeks volum perdagangan borong mencatatkan 131.6 mata, menyusut 3.3% tahun ke tahun. Pertumbuhan negatif ini direkodkan oleh lain-lain pengkhususan jualan borong  (-12.6%) dan jual borong berdasarkan kontrak atau yuran (-6.4%),” katanya dalam siaran Perdagangan Borong & Runcit, September 2020.

Sementara itu, jualan perdagangan runcit mencatatkan pertumbuhan positif 1.1% berbanding September 2019. 

 

jualan borong

 

Ini didorong oleh jualan runcit bukan di kedai, gerai atau pasar (9.2%), jualan runcit di gerai dan pasar (8.2%), jualan runcit makanan, minuman dan tembakau di kedai pengkhususan (8.2%) dan jualan runcit di kedai bukan pengkhususan (7.6%). 

Berbanding Ogos 2020, jualan bagi subsektor itu merosot  2.5%.         

 Dalam pada itu, nilai jualan subsektor kenderaan bermotor mencatatkan pertumbuhan 17.1% tahun ke tahun.  

Peningkatan itu didorong oleh jualan kenderaan bermotor yang mencatatkan pertumbuhan 34.8% dan jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal  9.4%.

Bagi perbandingan bulanan, jualan subsektor itu menurun  0.8%.   - DagangNews.com