Sewa hartanah mewah perlu dikurangkan semasa pandemik COVID-19 | DagangNews Skip to main content

Sewa hartanah mewah perlu dikurangkan semasa pandemik COVID-19

KUALA LUMPUR 5 Okt.  -  Apartmen mewah yang didiami kebanyakan penyewa dalam kalangan profesional warga asing dijangka menghadapi tekanan yang tinggi untuk pengurangan harga sewa susulan gelombang kedua wabak pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif SpeedHome, Wong Whei Meng berkata, transaksi perniagaan sewaan kediaman di platformnya kembali normal dalam masa satu bulan selepas PKP ditamatkan di kawasan Lembah Klang, dan rumah dengan kadar sewa antara RM1,00 hingga RM2,000 kekal menjadi pilihan yang sangat popular oleh para penyewa.

Menurutnya, penawaran dan permintaan untuk rumah kediaman di Lembah Klang adalah seimbang pada bulan Jun dan Julai.

Katan, semasa tempoh penangguhan pinjaman, kebanyakan pemilik rumah tidak tergesa-gesa untuk mencari penyewa, tetapi setelah bulan Ogos, harga sewa telah mulai kurang dengan cepat, terutama bagi sewaan bulanan tinggi daripada RM2,000.

"Sekiranya kadar sewa tidak diubah mengikut keadaan semasa, kemungkinan tempoh kekosongan rumah akan menjadi lebih lama. Hal ini juga turut dirasai pemilik hartanah kediaman mewah di Lembah Klang yang menyasarkan penyewa dalam golongan profesional warga asing akibat pendemik COVID-19.

"Sesetengah penyewa warga asing memilih untuk menamatkan kontrak sewaan lebih awal untuk pulang ke negara masing-masing. Oleh itu, sewa bulanan kediaman jenis ini akan dikurangkan sebanyak 5% hingga 15%,'' katanya dalam kenyataan di sini.

Pada masa yang sama, permintaan kediaman di Pulau Pinang, sebuah destinasi popular tarikan pelancong, telah meningkat 2 kali ganda pada dua bulan yang lalu di SpeedHome, dipercayai kerana ramai pengendali rumah penginapan di sana telah menukar kepada sewaan jangka panjang untuk mendapat pendapatan sewaan yang lebih stabil.

Johor juga menghadapi tekanan tinggi bagi mengurangkan kadar sewaannya kerana negeri berkenaan mempunyai hartanah yang paling banyak tidak terjual. Tambahan pula, penutupan sempadan Malaysia-Singapura juga menyebabkan ramai pekerja tempatan kehilangan pekerjaan masing-masing. Permintaan terhadap rumah sewa tempatan juga turun dengan mendadak sekitar 10 hingga 20 peratus.

Wong percaya bahawa selepas moratorium pinjaman tamat, kebanyakan pemilik rumah sewa akan sanggup menerima sebarang jenis penyelesaian sewaan yang ada di dalam pasaran bagi mencari penyewa dengan segera.

Pada masa ini, penerimaan masyarakat terhadap model sewaan tanpa bayaran deposit sewa telah meningkat. Sekurang-kurangnya terdapat empat syarikat dalam pasaran yang menawarkan perlindungan insurans untuk mengganti sistem deposit sewaan.

“Memandangkan kelembapan ekonomi kini, ramai rakyat Malaysia tidak mempunyai wang simpanan. Sekiranya anda ingin mereka membayar deposit dan sewa bulanan yang berharga lebih kurang sama seperti 3 hingga 4 bulan gaji mereka, anda pastinya menghadapi masalah untuk mencari penyewa untuk rumah sewa anda.

"Dengan model sewaan tanpa deposit ini akan mempercepat kecekapan pasaran sewa kediaman di Malaysia dan membolehkan pemilik rumah dan penyewa mencapai situasi menang-menang”, kata beliau. - DagangNews.com