SFP Technologies diunjur capai rekod keuntungan tertinggi hingga FY25 didorong sumbangan positif anak syarikat | DagangNews Skip to main content

SFP Technologies diunjur capai rekod keuntungan tertinggi hingga FY25 didorong sumbangan positif anak syarikat

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Mei - SFP Technologies Holdings Bhd diunjur berada di landasan terbaik untuk mencapai rekod keuntungan tertinggi hingga FY25 didorong beberapa faktor termasuk sumbangan positif daripada anak syarikat, EST Exhibit Automation Sdn. Bhd. (EEASB).

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, ia juga didorong penyiapan kilang pembuatan ketiga yang meluaskan kawasan binaan kumpulan dengan ketara dan rancangan penambahan 41 mesin kawalan berangka komputer (CNC) dalam tempoh tiga tahun akan datang. 

 

"Pelaburan ini dijangka meningkatkan kapasiti pengeluaran kumpulan sebanyak 25.3% sekali gus meningkatkan keuntungannya," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu telah menyusun semula kilang pembuatannya untuk menyelaraskan operasi perniagaannya dengan lebih baik, di mana kilang 1 dan 2 berada pada kedudukan untuk mengembangkan perniagaan fabrikasi logam kepingannya.

 

Katanya, kilang 2 juga menempatkan operasi pemesinan CNC dengan format sedia ada.

 

"Sementara itu, kilang 3 akan menempatkan operasi perniagaan pemesinan CNC berbilang geometri, pemasangan mekanikal dan penyelesaian peralatan automatic," katanya.

 

HLIB berkata, jualan kumpulan melonjak lebih sekali ganda kepada RM34 juta disebabkan peningkatan tempahan daripada pelanggan sedia ada ditambah pula dengan susunan jualan alat ganti daripada pelanggan pemasangan mekanikal pada suku keempat 2023, di mana kos alat ganti tersebut tidak diiktiraf sebagai hasil.

 

Katanya, walaupun kos kewangan yang lebih rendah dan kadar cukai korporat yang berkesan, keuntungan bersih teras hanya meningkat 1% kepada RM9 juta, diseret oleh margin pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai (EBITDA) yang lebih rendah serta susut nilai dan pelunasan yang lebih tinggi.

 

"Kami mengekalkan saranan 'pegang' dengan harga sasaran (TP) 81 sen sesaham," katanya. - DagangNews.com