Shahin Farouque dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Sapura Energy berkuat kuasa 15 Disember 2023 | DagangNews Skip to main content

Shahin Farouque dilantik sebagai Pengarah Bukan Eksekutif Sapura Energy berkuat kuasa 15 Disember 2023

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Dis - Sapura Energy Berhad mengumumkan pelantikan Shahin Farouque Jammal Ahmad sebagai pengarah bukan eksekutif berkuat kuasa 15 Disember 2023.

 

Dengan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang bank pelaburan,  Shahin Farouque membawa bersamanya pengetahuan serta pengalaman dalam penstrukturan semula korporat serta strategi yang akan memberi manfaat kepada Syarikat bagi membina pelan penstrukturan semula selain penyusunan semula hutang yang mantap.

 

Shahin Farouque kini merupakan Ketua Kumpulan, Pelaburan Strategik Permodalan Nasional Berhad (PNB).

 

Sebelum PNB, beliau merupakan Pengarah Eksekutif di Bahagian Pelaburan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan menganggotai lembaga pengarah pelbagai syarikat kreatif dan media dalam portfolio Khazanah.

 

Pengerusi Sapura Energy, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, pihaknya berbesar hati kerana beliau akan menjadi sebahagian daripada kumpulan itu.

 

"Lembaga Pengarah, pasukan kepimpinan, dan saya berharap dapat memanfaatkan kebijaksanaan dan pengalaman beliau untuk mengemudi kejayaan pelan penstrukturan semula hutang dan melakar perjalanan untuk masa depan perniagaan kumpulan," katanya. - DagangNews.com