Shahril Mokhtar dilantik Ketua Eksekutif Petra Transit System | DagangNews Skip to main content

Shahril Mokhtar dilantik Ketua Eksekutif Petra Transit System

KUALA LUMPUR 29 Julai - Petra Group telah melantik Datuk Seri Shahril Mokhtar sebagai Ketua Eksekutif Petra Transit Systems (PTS) berkuat kuasa 1 Ogos ini.

 

Sebelum pelantikan itu, Shahril adalah Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit (MRT) Corporation dan pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Kumpulan di Prasarana Malaysia Berhad.

 

Beliau memulakan kerjayanya di PricewaterhouseCoopers pada 1999 dan menggunakan kepakarannya untuk berkhidmat di beberapa organisasi sebelum dilantik sebagai Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pada 2010, yang kini dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

 

Pengerusi dan Ketua Eksekutif Petra Group Datuk Dr Vinod Sekhar dalam satu kenyataan memaklumkan beliau yakin syarikat tersebut diterajui individu yang tepat susulan pelantikan itu, lapor Bernama.

 

Shahril pula berkata PTS memiliki pengalaman, teknologi dan pengetahuan bagaimana menjadi pemain di peringkat global dalam perniagaan rel.

 

Berdasarkan pemahaman bersama dan nilai yang boleh dibawanya  disertai dengan visi Vinod, Shahril berkata beliau melihat banyak sinergi dan peluang untuk kumpulan itu, bukan hanya di Malaysia malah di rantau ini juga. - DagangNews.com