Shopee dan Visa jalin kerjasama strategik lima tahun teroka peluang pertumbuhan baharu ekonomi digital Asia Tenggara | DagangNews Skip to main content

Shopee dan Visa jalin kerjasama strategik lima tahun teroka peluang pertumbuhan baharu ekonomi digital Asia Tenggara

TERENCE Pang (kiri) bersama Neil Mumm menunjukkan dokumen perjanjian kerjasama strategik antara Shopee dan Visa.

 

KUALA LUMPUR 2 Okt. - Shopee, platform e-dagang terkemuka di Asia Tenggara dan Taiwan, dan Visa, peneraju pembayaran digital dunia, mengumumkan kerjasama strategik lima tahun yang menggalakkan penyertaan lebih luas dalam ekonomi digital Asia Tenggara, satu komponen penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi keseluruhan rantau ini.

Para pengguna Shopee juga mendapat manfaat kerana boleh membuat pembayaran dengan ketenangan fikiran menggunakan Visa, selain menikmati promosi dan ganjaran tambahan.

Kerjasama ini adalah sebahagian daripada misi Shopee untuk menambah baik kehidupan individu dan perniagaan menerusi teknologi, yang kini semakin banyak membabitkan pembayaran digital.


Sebagai sebahagian daripada perjanjian serantau ini, Shopee dan Visa akan bekerjasama untuk:

  • Memberi insentif kepada PMKS untuk mendigitalkan perniagaan mereka di Shopee dan menerima pakai pembayaran digital menerusi Visa
  • Menyediakan sokongan pemasaran dan kempen kepada PMKS untuk meningkatkan kesedaran, kunjungan dan jualan bagi kedai atas talian
  • Melancarkan kad kredit jenama bersama dengan kerjasama bank-bank tempatan
  • Menawarkan pembayaran Visa yang pantas, mudah dan selamat kepada semua pengguna Shopee
  • Mencipta pengalaman unik bagi pengguna Shopee menerusi platform tajaan eksklusif Visa


Shopee akan dapat memberikan lebih nilai, kemudahan dan keselamatan kepada pembeli dan pedagang menerusi Visa, memudahkan mereka untuk menjalankan perniagaan dan meningkatkan jualan.

Dalam pada itu, Visa akan memanfaatkan pangkalan pengguna Shopee yang luas untuk mengukuhkan kedudukan dalam kalangan PMKS Asia Tenggara dan para pembeli atas taliannya.

Ketua Pegawai Operasi Shopee, Terence Pang berkata,  Shopee terus memantapkan ekosistemnya untuk menjadi pemboleh bagi PMKS untuk menerima pakai teknologi bagi meluaskan perniagaan masing-masing.

"Kami berharap untuk terus bekerjasama rapat dengan Visa untuk memanfaatkan rangkaiannya yang luas dan selamat untuk memudahkan penjual mendigitalkan perniagaan masing-masing, terutama di bandar raya peringkat kedua dan kawasan luar bandar.

"Para pembeli kami juga akan mendapat manfaat dengan pengalaman yang lebih memberi kemudahan dan memuaskan yang menggalakkan pembelian dan menjana pertumbuhan ekonomi. Kami komited kepada Asia Tenggara supaya rantau ini boleh memanfaatkan sepenuhnya kuasa teknologi untuk mencetus transformasi,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Jualan dan Pemerolehan Pedagang Asia Pasifik Visa, Neil Mumm berkata, 
Visa berusaha untuk membantu mana-mana perniagaan, tidak kira saiz atau lokasi, untuk menarik dan berkhidmat kepada lebih banyak pelanggan tempatan dan global dengan menerima pembayaran digital dengan cara yang selamat dan terlindung.  

"Ini amat penting lebih-lebih lagi dengan pandemik COVID-19 yang menular, kerana pengguna dan perniagaan kini semakin banyak menggunakan pembayaran tanpa sentuhan dan pembelian atas talian.

"Visa berhasrat untuk bekerjasama dengan Shopee untuk melanjutkan akses kepada ekonomi digital bagi perniagaan kecil di seluruh Asia Tenggara. Kerjasama kami yang lebih luas dengan Shopee adalah salah satu cara yang menarik bagi Visa untuk menyokong perniagaan kecil yang sedang pulih dan berusaha menjana pertumbuhan masa depan,” ujarnya.

D
alam tempoh beberapa bulan akan datang, Shopee dan Visa juga akan melancarkan kad kredit jenama bersama di beberapa pasaran terpilih dengan kerjasama bank-bank tempatan. Kad ini akan menawarkan ganjaran secara bersepadu dan terus kepada pembeli dan membolehkan Visa untuk mencapai lebih ramai pengguna tempatan. Di Malaysia, Maybank Shopee Credit Card telah dilancarkan pada Jun 2020 dan mendapat sambutan menggalakkan daripada rakyat Malaysia, terutamanya pada beberapa hari pertama pelancaran.

Kerjasama ini juga bakal menyaksikan Shopee mengukuhkan hubungan dengan CyberSource, platform pengurusan pembayaran perkhidmatan penuh Visa, untuk menyokong pemprosesan transaksi dan pengesanan penipuan dan memastikan pengalaman beli-belah yang lancar dan tanpa masalah.

Asia Tenggara bakal menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang tahun 2030, dengan bahagian lebih besar KDNK dipacu oleh ekonomi digital. Ekonomi internet Asia Tenggara dijangka mencecah AS$300 bilion menjelang tahun 2025 dengan e-dagang sebagai sektor paling besar dan peneraju pertumbuhan.

Pasaran e-dagang Asia Tenggara dianggarkan bernilai AS$150 bilion menjelang tahun 2025, jauh lebih tinggi berbanding $38 bilion pada tahun 2018.


Penduduk yang semakin celik teknologi, kelas pertengahan yang kian bertambah dan peralihan semakin pantas ke arah perkhidmatan atas talian akan terus memacu industri e-dagang. Pada tahun 2015, seramai 49 juta orang membeli atau menjual barangan di atas talian, dan menjelang tahun 2019, bilangan tersebut meningkat tiga kali ganda kepada 150 juta.

Memandangkan lebih daripada 70% penduduk dewasa di rantau ini tidak menggunakan atau kurang menggunakan perkhidmatan bank, kaedah pembayaran digital akan membolehkan mereka mengambil bahagian dalam ekonomi digital.


Sebagai pemimpin pasaran, Shopee akan terus memanfaatkan kekuatan terasnya untuk membantu pembeli, penjual dan rakan jenama untuk memudahkan proses jual beli di atas talian untuk semua.

Shopee telah mencatatkan pertumbuhan kukuh pada S1 2020. Menurut App Annie, di Asia Tenggara dan Taiwan, Shopee muncul sebagai aplikasi terulung dalam kategori Beli-belah berasaskan purata pengguna aktif dan muat turun bulanan, dan juga jumlah masa yang diluangkan dalam aplikasi berlandaskan Android. - DagangNews.com