Siab meterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities, NewParadigm bagi ambil alih Taghill | DagangNews Skip to main content

Siab meterai perjanjian taja jamin bersama M & A Securities, NewParadigm bagi ambil alih Taghill

Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Mei - Syarikat pembinaan, Siab Holdings Berhad merancang mengumpul kira-kira RM103.98 juta melalui penempatan persendirian bagi membiayai pengambilalihan Taghill Projects Sdn. Bhd. (Taghill). 

 

Terbitan hak dengan waran, bernilai RM91.98 juta itu akan ditaja jamin oleh M & A Securities Sdn. Bhd. (M & A Securities) selaku Penasihat Utama, Penaja Jamin Urusan dan Penaja Jamin Bersama kepada Syarikat serta NewParadigm Securities Sdn. Bhd. (NewParadigm), Penaja Jamin Bersama kepada Siab.

 

Dana sebanyak RM12 juta lagi telah diraih pada 28 Disember 2023 dan terbitan hak dengan waran. 

 

siab
Ng Wai Hoe (tiga dari kiri)  dan Bill Tan (empat dari kiri) serta CEO Kumpulan NewParadigm Securities, Charanjeev Singh pada majlis pemeteraian taja jamin.

 

Pengambilalihan Taghill ditetapkan pada RM122 juta yang dilengkapkan menerusi tunai sebanyak RM96 juta dan terbitan 200 juta saham Siab pada 12 sen sesaham.

 

Taghill ialah sebuah syarikat perunding pengurusan projek pembinaan yang telah menyelesaikan 12 projek pembinaan utama bernilai RM1.58 bilion, termasuk Expressionz Suites dan Ceylonz Suites di Kuala Lumpur. 

 

Pada masa ini, Taghill mempunyai buku pesanan yang kukuh bernilai RM1.31 bilion dan telah komited kepada jaminan keuntungan sekurang-kurangnya RM24 juta untuk tahun kewangan 2024 dan 2025. 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Siab Holdings Berhad, Ng Wai Hoe berkata, penyatuan Taghill membolehkan kepakaran dua pihak dimanfaatkan yang akan meningkatkan nilai keseluruhan Syarikat dengan ketara.

 

"Kami menghargai sokongan dan kepakaran berterusan yang diberikan oleh M & A Securities, NewParadigm Securities dan Penasihat Kewangan kami, Eco Asia Advisory Sdn Bhd dalam memudahkan inisiatif transformatif ini," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

siab hq

 

Pengarah Urusan Kewangan Korporat M & A Securities, Datuk Bill Tan berkata, menerusi dana yang dikumpul Siab berada pada kedudukan yang baik untuk meningkatkan kehadiran dalam pasaran.

 

"Ini bagi merebut lebih banyak peluang dalam pasaran pembinaan dan hartanah Malaysia yang dinamik," jelasnya.

 

Menurut Siab, industri pembinaan di Malaysia dijangka berkembang sebanyak 6.8% kepada RM60.49 bilion kerana disokong oleh pertumbuhan menyeluruh merentas semua subsektor.

 

Dalam Bajet 2024, peruntukan untuk Perbelanjaan Pembangunan (DE) berjumlah RM99.0 bilion – yang merupakan DE terbesar pernah menyokong pertumbuhan ketara dalam industri pembinaan tempatan. 

 

"Salah satu inisiatif yang paling ketara termasuk tumpuan Kerajaan Malaysia terhadap pemilikan rumah dengan peruntukan RM2.47 bilion, diperuntukkan untuk melaksanakan projek perumahan untuk rakyat pada 2024. 

 

"Siab, bersama-sama dengan pemerolehan Taghill, lebih bersedia untuk menyokong Kerajaan Malaysia bercita-cita tinggi DE pada 2024," ujarnya.- DagangNews.com