Siasatan import jubin lantai ditamatkan 11 Jan. - MITI | DagangNews Skip to main content

Siasatan import jubin lantai ditamatkan 11 Jan. - MITI

 

 

 

KUALA LUMPUR 11 Jan. - Kerajaan memutuskan untuk menamatkan penyiasatan perlindungan berkenaan import keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke dalam Malaysia mulai hari ini.

 

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kerajaan juga tidak dapat memastikan jumlah import keluaran yang disiasat dalam terma relatif kepada pengeluaran dalam negeri keluaran serupa semasa tempoh penyiasatan. 

 

"Di samping itu, disebabkan kekurangan maklumat, kerajaan tidak dapat memastikan kewujudan hubungan bersebab antara peningkatan import keluaran yang disiasat dengan kemudaratan yang serius kepada industri dalam negeri di Malaysia yang mengeluarkan keluaran serupa," katanya dalam kenyataan. 

 

Pada 13 September lalu, Kerajaan Malaysia telah memulakan penyiasatan bagi penentuan langkah perlindungan berkenaan keluaran jubin lantai dan dinding seramik ke dalam Malaysia selaras dengan Akta Pelindung 2006 dan Peraturan-Peraturan Pelindung 2007. 

 

Penyiasatan ini dibuat berdasarkan petisyen yang difailkan oleh Federation of Malaysian Manufacturers-Malaysian Ceramic Industry Group yang mewakili industri dalam negeri yang mengeluarkan keluaran serupa. 

 

Pempetisyen mendakwa peningkatan import keluaran jubin lantai dan dinding seramik secara mutlak dan relatif kepada pengeluaran dalam negeri dari 2017 sehingga 2019 telah mengakibatkan kemudaratan yang serius kepada industri dalam negeri di Malaysia.

 

Selaras dengan subseksyen 20(2) Akta Pelindung 2006 dan peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pelindung 2007, kerajaan telah menjalankan siasatan dan membuat penentuan awal negatif memandangkan tiada peningkatan import keluaran yang disiasat dalam terma mutlak. 

 

Menurut MITI, Notis Penentuan Awal Negatif Penyiasatan Perlindungan berkenaan dengan Keluaran Jubin Lantai dan Dinding Seramik yang Diimport ke dalam Malaysia ini boleh dicapai melalui http://www.federalgazette.agc.gov.my/outputp/pub_20210111_PUB12.pdf

 

Pihak berkepentingan seperti pengeluar tempatan, pengimport, pengeluar atau pengeksport asing dan persatuan-persatuan berkaitan dengan penyiasatan boleh mendapatkan salinan versi tidak sulit laporan mengenai Penentuan Awal penyiasatan dengan membuat permohonan bertulis kepada pihak MITI. - DagangNews.com