Sijil halal JAKIM bantu kembangkan lagi prestasi perniagaan usahawan di Terengganu | DagangNews Skip to main content

Sijil halal JAKIM bantu kembangkan lagi prestasi perniagaan usahawan di Terengganu

Oleh HUSNA ABDULLAH

KUALA TERENGGANU 24 Nov - Sijil halal dari Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Skim Pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI) dari Kementerian Kesihatan Malaysia kini menjadi buruan ramai usahawan di Terengganu untuk melonjakkan lagi prestasi perniagaan mereka.

 

Beberapa usahawan yang ditemui DagangNews.com juga mengakui kedua-dua perakuan sijil itu banyak membantu syarikat milik usahawan perindustrian mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran dalam dan luar negara.

 

Pengarah Urusan Muslim Food Industries (MFI), Jameelah Jamaludin berkata, perakuan sijil halal JAKIM yang diperolehi sejak 10 tahun lalu telah berjaya memikat hati pengguna di seluruh negara terutama mereka yang mencari produk makanan halalan toyyiban.

 

Menurutnya, syarikat tersebut yang mengeluarkan pelbagai jenis produk antaranya mi kuning, kuetiau, laksa beras, bebola ikan, bihun, cili boh, garam halus dan garam kasar kini semakin berkembang dengan sasaran jualan RM40 juta sepanjang tahun ini.

 

makan
Jameelah Jamaludin

 

"Kami beroperasi sejak tahun 1985 namun lonjakan jualan memang lebih ketara selepas mendapat sijil halal ini kerana kami berjaya menembusi rangkaian pasaraya Mydin dan Giant di seluruh Semenanjung Malaysia dan berpuluh lagi pasaraya kecil di seluruh negara.

 

"Saya sangat menggalakkan usahawan lain untuk memohon perakuan sijil halal ini kerana lebih mudah untuk mendapatkan pembiayaan atau geran pembangunan usahawan dari pelbagai agensi kerajaan.

 

"Alhamdulillah kerana syarikat kami telah berjaya mendapat bantuan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp Sdn Bhd, Jabatan Pertanian dan Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu dengan nilai lebih RM1.2 juta setakat ini," katanya yang memiliki 60 pekerja tempatan di kilang yang terletak di Kampung Tok Jiring dekat Kuala Nerus.

 

makan
Norhasimah Abd Ghani

 

Sementara itu, Pengurus Pemasaran Hulwah Frozen Food, Norhasimah Abd Ghani pula berkata, sejak memperolehi sijil halal JAKIM pada tahun 2019, jualan syarikat terus meningkat hampir 70 peratus dan mendapat kepercayaan pelbagai pihak untuk menyertai karnival serta eskpo di dalam dan luar negara.

 

"Sambutan agak luar biasa kerana pelanggan lebih yakin dan puas hati dengan tahap kesucian dan kebersihan produk kami setelah mendapat pengesahan sijil halal itu.

 

"Ketika ini, purata jualan bulanan ialah antara RM7,000 hingga RM12,000 bergantung kepada beberapa faktor seperti cuti persekolahan dan musim perayaan," katanya yang mengeluarkan ketupat palas sejuk beku dengan pelbagai jenis inti serunding antaranya ayam, daging, ikan, kacang, jagung, pulut hitam dan sambal bilis.

 

Bagi pemilik Qarith Sevices Sdn Bhd, Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along pula, syarikatnya mula memprolehi sijil halal tersebut pada 1 Julai 2022 untuk produk pes masakan dan pelbagai jenis lauk yang siap dimasak menggunakan teknologi retort.

 

makan
Mariam @ Sharifah Mariam Sh Along

 

"Saya bersyukur kerana sijil ini memberi perubahan yang signifikan dalam jualan syarikat memandangkan trend kesedaran orang ramai yang mementingkan status halal, kualiti dan kebersihan sesuatu produk.


"Apatah lagi, saya turut menjalankan perniagaan restoran di empat cawangan, sijil halal memang sangat membantu dalam meningkatkan jenama kami menjadi pilihan dan kepercayaan pengguna," katanya yang tidak lokek berkongsi kebaikan dan manfaat sijil halal JAKIM kepada usahawan yang lain," katanya.  - DagangNews.com