Perlis memiliki pelbagai tarikan pelancongan. - Gambar dari laman web
KUALA LUMPUR 20 Sept. – Garis Panduan Patuh dan Amal Standard Operasi Prosedur COVID-19 (GPPAC-19) yang dibangunkan oleh Nexus Produktiviti Pelancongan (TPN) di bawah Perbadanan Produktiviti Malalysia (MPC) mampu memberi nilai tambah kepada industri pelancongan di Perlis.
Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Perlis (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Asmaiza Ahmad melalui surat sokongan terhadap program Sijil Pematuhan GPPAC19 berkata, program tersebut merupakan mekanisme terbaik dalam membantu penggiat industri merancakkan semula ekonomi dengan memberi keutamaan kepada kesihatan awam.
“Pensijilan GPPAC19 sedikit sebanyak memberi motivasi kepada penggiat industri untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik di dalam sektor pelancongan negara”, katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Datuk Abdul Latif Haji Abu Seman berkata, usaha membangun dan melaksanakan sijil pematuhan ini melalui inisiatif TPN merupakan salah satu langkah yang diambil untuk menyokong meningkatkan produktiviti dan prestasi perniagaan sektor pelancongan yang amat terkesan dengan pandemik COVID-19.
"Saya amat mengalu-alukan pengiktirafan oleh kerajaan negeri Perlis terhadap inisiatif ini. Ia sedikit sebanyak akan membantu para pemain industri pelancongan untuk membina semula keyakinan para pelancong, seterusnya dapat menarik lebih ramai kedatangan pelancong ke Perlis," ujarnya.
Menurutnya, inisiatif ini juga amat bertepatan dengan situasi semasa di mana industri pelancongan sedang dibuka secara bersasar, dan pemain industri sektor pelancongan juga perlu bersedia untuk meningkatkan keyakinan pelancong melalui pematuhan kepada SOP.
Turut menyambut baik inisiatif ini, termasuklah Pengerusi TPN, Uzaidi Udanis yang berpendapat, sijil pematuhan tersebut mengiktiraf produk dan perkhidmatan pelancongan yang mematuhi garis panduan dan SOP yang dikeluarkan oleh kerajaan.
“Saya menyeru rakan-rakan pelancongan di Perlis untuk sama-sama melakukan penilaian kendiri untuk mendapatkan sijil pematuhan ini.
"Saya yakin bahawa secara keseluruhannya ramai pengusaha pelancongan memang mematuhi SOP COVID-19, namun tidak ada satu bentuk pengiktirafan atau sijil yang boleh digunakan oleh mereka untuk tujuan promosi, inilah tujuan Sijil Pematuhan GPPAC19," katanya.
Uzaidi berkata, sekarang adalah masanya untuk para pemain industri mendapatkan sijil pematuhan ini dan Perlis semestinya akan menerima manfaat dari pembukaan aktiviti pelancongan di Pulau Langkawi kerana para pelancong akan melalui Kuala Perlis.
“Oleh itu, potensi Perlis sebagai destinasi pelancongan adalah amat besar. Saya menyeru para pelancong yang hendak ke Langkawi atau pulang dari Langkawi, berhenti sehari dua di Perlis untuk pengalaman pelancongan yang menakjubkan," tambah beliau. - DagangNews.com