Sime Darby Auto Selection-myTukar tambah baik tawaran kereta terpakai | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Auto Selection-myTukar tambah baik tawaran kereta terpakai

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Okt. – Anak syarikat Sime Darby Motors yang mengendalikan kereta terpakai, Sime Darby Auto Selection (SDAS) telah menandatangani kerjasama dengan platform pembidaan kereta dalam talian, myTukar untuk merevolusikan pengalaman jual beli kepada pelanggan.

Kerjasama itu bakal memperluaskan rangkaian SDAS ke seluruh negara, membolehkan akses ke lebih banyak pilihan untuk pelanggan serta pangkalan data urus niaga kereta terpakai.

Pengarah Urusan, Runcit dan Edaran Sime Darby Motors, Jeffrey Gan berkata, proses digital yang ditawarkan myTukar dapat memastikan pelanggan mereka menerima nilai perdagangan kenderaan tinggi.

“Kami berhasrat untuk menjadi pengedar kenderaan terpakai terbesar dan paling dipercayai di Malaysia.

Kami menantikan perkongsian yang bermanfaat dengan myTukar dan ingin mencari lebih banyak kaedah untuk memudahkan pengalaman perdagangan kereta oleh para pelanggan,“ kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

SDAS bermula sebagai pengedar BMW Premium Selection yang diiktiraf dan kini menjadi pengedar kenderaan terpakai pelbagai jenama, dengan tiga cawangan di Lembah Klang serta satu di Johor Bahru.

Kerjasama dengan myTukar juga dijangka menambah baik pengurusan inventori SDAS dengan menggunakan analisis data besar bagi transaksi kenderaan terpakai.

Ketua Pegawai Eksekutif myTukar, Fong Hon Sum percaya bahawa kerjasama itu akan menekankan visi bersama untuk menawarkan pelanggan dengan proses pembelian dan penjualan kereta mereka yang lancar dan telus.

“myTukar teruja untuk memulakan kerjasama dengan SDAS serta mengalu-alukan pemeriksa mereka ke platform teknologi myTukar,” katanya dalam kenyataan sama.

myTukar merupakan anak syarikat CARRO dan platform perdagangan kereta terpakai dalam talian yang pesat berkembang di Malaysia.

Menerusi akses ke lebih 1,900 rangkaian pengedar di seluruh negara, pemilik kini dapat menjual kereta mereka dengan mudah, beroperasi 24 jam. – DagangNews.com