Sime Darby Property jalin usaha sama wujudkan dana pembangunan industri | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property jalin usaha sama wujudkan dana pembangunan industri

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Sime Darby Property Bhd. menerusi anak syarikatnya, Sime Darby Property (Capital Holdings) Pte Ltd (SDPCH) memeterai perjanjian pemegang saham dengan LOGOS SE Asia Pte Ltd untuk membentuk syarikat usaha sama baharu, Industrial Joint Venture (Holdings) Pte Ltd (JV). 

 

LOGOS SE Asia adalah anak syarikat milik penuh LOGOS Property Group Limited, firma yang mengkhusus dalam kepakaran logistik di rantau Asia Pasifik dan mempunyai aset di bawah pengurusan bernilai lebih AS$17 bilion.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini, Sime Darby berkata, usaha sama itu diwujudkan untuk menyediakan pengurusan dana dan perkhidmatan pembangunan kepada dana pembangunan industri yang ditubuhkan syarikat JV. 

 

"Dana permulaan yang pertama bagi usaha sama ini bertujuan untuk distrukturkan sebagai perkongsian terhad Singapura yang menyasarkan komitmen jumlah modal sebanyak AS$200 juta atau hampir RM850 juta daripada pelabur institusi dan bertauliah. 

 

"Oleh itu, Sime Darby Property memperuntukkan tapak seluas 177 ekar di Bandar Bukit Raja, Klang bagi tujuan kerjasama ini," katanya. 

 

Menerusi syarikat usaha sama antara SDPCH dan LOGOS SE yang diperbadankan di Singapura itu, SDPCH memiliki 51% kepentingan manakala 49% dimiliki LOGOS SE.

 

Sime Darby Property berkata, fokus utama dana adalah untuk membangunkan dan melabur dalam aset yang boleh dipajak atau dijual terutama untuk pelanggan dalam sektor logistik.

 

Jelasnya, penawaran perkhidmatan menerusi usaha sama ini dan anak syarikatnya serta dana berkenaan membolehkan Sime Darby Property meningkatkan pelaburan sedia ada dan perniagaan pengurusan aset.

 

Ketika ini, ia menguruskan 5 juta kaki persegi dari jumlah ruang boleh guna bersih di Malaysia, Singapura dan United Kingdom merentasi pelbagai sektor termasuk perindustrian, komersial, peruncitan dan pendidikan. 

 

"Ini merupakan sebahagian usaha berterusan Sime Darby Property untuk mempelbagaikan lagi perniagaan dan memperluaskan aliran pendapatan di luar segmen hartanah ke arah menjadi syarikat pembangunan hartanah berdaya mapan menjelang 2025," katanya. 

 

Menerusi pembentukan usaha sama itu, bahagian ekuiti Sime Darby Property dari JV itu dijangka hanya minimum pada RM2 juta, yang akan dijana melalui dana dalaman.

 

Kumpulan juga menjangkakan, ia tidak memberi kesan kepada hasil atau aset bersih sesaham, gearan, modal saham dan pemegangan saham utama Sime Darby Propertu bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021. - DagangNews.com