Sime Darby Property terima tempahan 376 unit hartanah bernilai RM352 juta sepanjang kempen Dragon Deals | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property terima tempahan 376 unit hartanah bernilai RM352 juta sepanjang kempen Dragon Deals

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Mac - Sejumlah 376 unit hartanah bernilai RM352 juta ditempah sepanjang kempen Dragon Deals Sime Darby Property Bhd yang berlangsung bermula 1 Januari hingga 10 Mac 2024.

 

Kumpulan itu berkata, kejayaan kempen Dragon Deals adalah disebabkan permintaan berterusan terhadap hartanah di seluruh perbandaran Sime Darby Property termasuk City of Elmina, Bandar Bukit Raja, Serenia City, Nilai Impian, Bandar Ainsdale, Taman Melawati dan Putra Heights.

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Jualan Sime Darby Property, Datuk Lai Shu Wei berkata, pencapaian itu mendorong kumpulan untuk terus berinovasi bagi memenuhi impian pengguna bagi memiliki hartanah di lokasi yang dilengkapi dengan ketersambungan dan kemudahan yang baik.

 

"Sime Darby Property sedar tentang sentimen dan cabaran yang dihadapi oleh pembeli rumah hari ini dan kempen Dragon Deals telah diwujudkan bagi menawarkan pengalaman pembelian istimewa di perbandaran kami.

 

"Matlamat kami kekal memastikan setiap pembeli terus rasa dihargai dan disokong sepanjang perjalanan pemilikan rumah mereka,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Sebagai sebahagian daripada komitmen jangka panjang terhadap kemampanan, Sime Darby Property bekerjasama dengan perusahaan sosial Urban Hijau untuk mengumpul sisa makanan di rumah terbukanya untuk dijadikan baja kompos.

 

Set kutleri gentian gandum mesra alam dan tanaman pasu kecil diedarkan kepada tetamu sebagai sebahagian daripada kempen kesedarannya untuk menggalakkan pengguna membuat pilihan yang lebih baik.

 

Sime Darby Property juga mengeluarkan filem pendek Tahun Baru Cina dengan tema 'Where Sustainability Flows, Prosperity Follows' bagi mempromosikan kisah kelestarian dan inisiatif alam sekitar di perbandarannya. Video itu menerima 5.4 juta tontonan setakat 10 Mac 2024. - DagangNews.com