Ahmad Sabirin Arshad melancarkan Pensijilan Ex secara maya hari ini.
Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]
KUALA LUMPUR 30 Sept. - SIRIM QAS International, anak syarikat milik penuh SIRIM Berhad menjadi Badan Pensijilan IECEx pertama di dunia yang menawarkan pensijilan yang dikhususkan untuk industri berkaitan bahan letupan (Ex) dengan pelancaran Skim Pensijilan Peralatan IECEx.
Pembangunan IECEx System for Certification to Standards Relating to Equipment untuk kegunaan dalam persekitaran melibatkan bahan letupan oleh Electrotechnical Commission atau IEC ini, mencatatkan lembaran baharu bagi komuniti Ex dalam membangunkan standard keselamatan peringkat antarabangsa.
Skop bagi pensijilan IECEx melibatkan pembuatan dan reka bentuk peralatan dan sistem, pembaikan dan penyelenggaraan di samping kecekapan pekerja dan penyedia perkhidmatan.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan SIRIM, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, mengambil kira risiko letupan berlaku di persekitaran sedemikian, terdapat keperluan untuk industri Ex untuk memenuhi syarat kualiti keselamatan dan kecekapan yang tinggi.
“Ex – atau industri persekitaran bahan letupan didefinisikan sebagai persekitaran kerja yang mempunyai bahan letupan seperti cecair mudah bakar, wap, gas dan debu mudah terbakar.
“Ia meliputi spektrum industri yang luas yang kebanyakannya adalah penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia seperti minyak dan gas, penerbangan dan percetakan.
“Saya percaya bahawa penilaian pematuhan berperanan penting dalam pertumbuhan masa hadapan industri-industri ini di Malaysia dan juga di seluruh dunia,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum itu, Skim Pensijilan Peralatan IECEx telah dilancarkan secara maya hari ini, yang turut dihadiri oleh Pengerusi IECEx, Paul Meanwell; Pengerusi Jawatankuasa IECEx Kebangsaan, Ir. Salmey Halim; Ketua Pegawai Eksekutif SIRIM QAS International, Nur Fadhilah Muhamad, wakil industri dan agensi kerajaan di Malaysia termasuklah PETRONAS, Majlis Perkhidmatan Minyak dan Gas Malaysia serta Institut Kejuruteraan Malaysia.
Sebagai peneraju khidmat pengujian, pemeriksaan dan pensijilan, SIRIM QAS mempunyai kepakaran dan peralatan untuk melaksanakan penentusahan dan pensijilan peralatan dan sistem Ex, kemudahan perkhidmatan dan personel.
Sehingga September 2021, ia telah mengeluarkan 20 pensijilan di bawah IECEx Service Facility Scheme dan 450 pensijilan bagi IECEx Certification of Personnel Competence Scheme (CoPC).
Rangka kerja pensijilan global dalam sektor yang amat dipantau undang-undang seperti Ex dapat membantu mengatasi halangan teknikal kepada perdagangan.
Bagi komuniti Ex, ini dapat mengurangkan kos dan tempoh ke pasaran yang disebabkan pelbagai kriteria penilaian pematuhan di negara yang berlainan.
Pada masa yang sama, Prosedur Peraturan Bersama dan dokumen operasi yang digunakan oleh semua badan pensijilan Ex, akan memastikan penerimaan di pasaran utama.
Meanwell yang mengalu-alukan SIRIM ke IECEx berkata, ini merupakan peristiwa penting bagi SIRIM apabila ia menyertai rangkaian 61 Badan Pensijilan IECEx di seluruh dunia.
“Malaysia, sebuah negara anggota yang aktif sekian lama dalam IECEx telah menerima hampir 900 pensijilan CoPC secara keseluruhannya,” katanya.
Selain pelancaran skim berkenaan, SIRIM QAS turut mengumumkan kerjasama dengan dua makmal pengujian Ex - Technology Institution of Industrial Safety (TIIS), Jepun dan Karandikar Laboratories Pvt. Ltd., India.
Kerjasama dengan TIIS adalah hasil daripada Memorandum Perjanjian dengan SIRIM QAS International yang melibatkan kerjasama dalam Pendidikan dan latihan, kerjasama teknikal dan pertukaran maklumat bagi pensijilan IECEx.
Memorandum Persefahaman dengan Karandikar Laboratories ditandatangani tahun lepas bagi kerjasama teknikal dalam pengujian dan perkhidmatan pensijilan Ex. - DagangNews.com