Siswazah susah dapat kerja disebabkan kelulusan tidak sama kehendak pasaran | DagangNews Skip to main content

Siswazah susah dapat kerja disebabkan kelulusan tidak sama kehendak pasaran

Oleh Munirah Mohamed, Nurhaslinda Hashim & Khalilah Ibrahim

SISWAZAH memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi dan pembangunan negara.

 

Berdasarkan Statistik Siswazah 2021, siswazah merujuk kepada individu yang memiliki sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.

 

Golongan ini selalunya dilihat sebagai kumpulan pekerja yang boleh mendapat gaji yang tinggi dan dinilai sebagai pekerja yang berpengetahuan.

 

Namun saban tahun, keperluan pasaran pekerjaan masa kini tidak dapat memenuhi peningkatan bilangan siswazah.

 

Pasaran pekerjaan telah mengalami pelbagai perubahan sejak pandemik sehingga kini di mana keperluan pengetahuan teknologi di utamakan dan ekonomi gig menjadi satu daripada tarikan pekerjaan.

 

Berikut adalah tiga cabaran yang dihadapi oleh siswazah masa kini:

 

  1. Pekerjaan yang tidak setara dengan kelulusan akademik

Melalui Statistik Siswazah 2021, Ketua Perangkawan, Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan siswazah bekerja ialah seramai 4.57 juta orang pada tahun 2021.

 

Siswazah yang bekerja dalam kategori mahir ialah 64.8 peratus iaitu seramai 2.96 juta orang dalam kategori pengurus, profesional dan juruteknik serta profesional bersekutu.

 

Manakala siswazah bekerja dalam kategori separuh mahir seperti pekerja sokongan perkeranian, pekerja perkhidmatan dan jualan dan pekerja kemahiran dan pekerja pertukangan yang berkaitan ialah sebanyak 32.9 peratus.

 

Seterusnya siswazah yang bekerja dalam kategori berkemahiran rendah adalah sebanyak 2.3 peratus.

 

 

jaminkerja dagangnews

 

 

Ini menunjukkan pekerja yang mempunyai kelulusan tinggi dalam kategori separuh mahir dan berkemahiran rendah adalah sebanyak 35.2 peratus.

 

Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin juga berkata bilangan siswazah dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran naik sebanyak 14.4 peratus iaitu seramai 1.55 juta orang pada 2021 berikutan golongan ini bekerja dalam jawatan yang tidak sepadan dengan kelayakan dan kemahiran mereka.

 

Statistik ini menunjukkan bahawa siswazah bekerja dalam pekerjaan yang tidak setara dengan kelulusan akademik yang dicapai.

 

Salah satu faktor adalah disebabkan kekurangan penawaran pekerjaan yang berkemahiran mahir dari industri dan juga mereka perlu bersaing dengan golongan pekerja yang telah diberhentikan.

 

Mereka tidak mempunyai pilihan melainkan mengambil apa sahaja jawatan yang diberi untuk memperoleh pendapatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.  

 

Untuk menangani cabaran ini, kerajaan telah merancang beberapa inisiatif dan program melalui bajet 2023 yang dibentangkan pada 7 Oktober 2022, bagi meningkatkan kebolehpasaran siswazah iaitu Program Graduan Pasaran Modal sebanyak RM30 juta dan Program Usahawan Siswazah (PUSh) sebanyak RM20 juta.

 

Program Graduan Pasaran Modal merupakan jalinan kerjasama antara Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan Dana Pembangunan Pasaran Modal yang dijangka boleh meningkatkan kebolehpasaran 9 ribu graduan dalam pasaran modal.

 

Manakala Program Usahawan Siswazah dilihat boleh memanfaatkan seramai 1,000 graduan untuk menceburi bidang keusahawanan.

 

Di samping itu, Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan 2021-2025 (PSKG) telah diwujudkan pada 2021 bagi menangani isu berkaitan kebolehpasaran siswazah.

 

Salah satu objektif strategi PSKG ialah menyediakan graduan berkemahiran tinggi serta mampu mengisi keperluan industri tempatan dan global.

 

Diharapkan dengan adanya inisiatif dari pelbagai pihak, ia dapat membantu siswazah untuk lebih berdaya saing dan boleh mengambil peluang dalam meningkatkan kemahiran diri.

 

 

jaminkerja dagangnews

 

 

  1. Menghadapi risiko peningkatan kos sara hidup

 

Kenaikan kadar inflasi dan penurunan nilai mata wang ringgit merupakan antara faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos sara hidup.

 

Pada Mac 2022, kadar inflasi adalah sebanyak 2.1 peratus dan meningkat kepada 4.5 peratus pada September 2022.

 

Peningkatan ini memberikan impak negatif seperti kenaikan kos barang dan perkhidmatan dan seterusnya mengurangkan kuasa membeli pengguna.

 

Siswazah yang berpendapatan rendah turut merasa terbeban dengan harga barang yang semakin meningkat dan ini mendatangkan kesukaran kepada mereka yang baru mula bekerja.

 

Bebanan kos sara hidup yang memeritkan, bukan sahaja dirasai oleh siswazah, malah pekerja yang telah lama bekerja.

 

Sekiranya siswazah bekerja di kawasan bandar, kesannya akan lebih ketara berbanding di luar bandar.

 

Siswazah juga mempunyai impian untuk memiliki kereta, rumah persendirian, mendirikan rumah tangga, dan mendapat gaji yang tinggi sesudah menamatkan pengajian.

 

Akibatnya, apabila tidak merancang dengan teliti, golongan ini kerap membuat kesilapan dengan berbelanja lebih dari kemampuan individu.

 

Sebagai contoh, membuat pinjaman pembelian kereta yang mahal hanya untuk bergaya dan bermewah sehingga melupakan perkara yang penting seperti membeli polisi insurans atau membayar pinjaman pendidikan.

 

 

parafrasa

 

 

Kini, kesedaran memiliki polisi insurans kesihatan amatlah penting kerana kita mudah terdedah dengan pelbagai penyakit yang berbahaya dan kos rawatan perubatan juga semakin meningkat.

 

Bagi menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat, siswazah perlu mempunyai perancangan kewangan peribadi yang holistik. Mereka harus mempunyai simpanan tetap dan berbelanja mengikut kemampuan.

 

Walaupun kerajaan telah membentangkan Bajet 2023 dengan memperuntukkan subsidi, bantuan dan insentif untuk kos sara hidup sebanyak RM 55 bilion, siswazah masih perlu mencari alternatif untuk menambahkan pendapatan seperti melibatkan diri dalam ekonomi gig.

 

Antara syarikat yang popular dalam ekonomi gig masa kini ialah Grab dan FoodPanda.

 

Salah satu kelebihan mereka ialah masa bekerja yang fleksibel dan kebebasan bekerja pada bila-bila masa selagi tugasan yang diberikan dapat diselesaikan mengikut waktu yang dipersetujui.

 

Siswazah juga boleh melibatkan diri dalam perniagaan atas talian untuk menambahkan pendapatan bulanan.

 

  1. Perkembangan kerjaya yang terhad

 

Selepas menamatkan pengajian, sebilangan siswazah adakalanya tidak pasti dengan hala tuju mereka. Kurangnya pendedahan dan panduan prospek kerjaya, mengakibatkan mereka membuat kesilapan apabila tidak meneliti potensi kerjaya yang sesuai dengan kelayakan akademik.

 

Justeru itu, siswazah akan berterusan tidak berpuas hati dengan kerja yang ditawarkan dan juga gaji yang tidak setimpal.

 

Malah, perkembangan kerjaya juga agak sukar jika mereka bermula dengan memilih pekerjaan yang tidak sesuai.

 

Situasi ini amat membimbangkan jika mereka bekerja dalam jawatan dan gaji yang sama untuk jangka masa yang panjang kerana ianya akan menambahkan cabaran kerjaya mereka.

 

 

parafrasa

 

 

Dengan ini, universiti perlu memainkan peranan penting dalam melahirkan siswazah yang boleh memenuhi keperluan pasaran kerjaya semasa.

 

Perancangan kerjaya lebih awal boleh dibuat apabila siswazah mendapat panduan dan maklumat berkaitan semasa menjalani pengajian.

 

Mereka juga perlu mempertingkatkan diri dengan kemahiran insaniah selain pencapaian akademik. Sebagai contoh, mempunyai kemahiran komunikasi yang baik, semangat kerja berpasukan dan kemahiran kepimpinan.

 

Selaras dengan perkembangan teknologi, kemahiran teknologi maklumat juga penting berikutan penggunaan sistem dan alat komunikasi yang baru sering diperkenalkan.

 

Siswazah hendaklah peka dengan perubahan teknologi dan bersedia melaksanakan segala perubahan dari segi skop kerja yang diberi.

 

Akhir kata, siswazah masa kini diharapkan dapat mempunyai kematangan dalam perancangan kerjaya dan boleh membuat keputusan yang baik. – DagangNews.com

 

Munirah Mohamed, Nurhaslinda Hashim & Khalilah Ibrahim adalah Pensyarah Kanan  Fakulti Pengurusan dan Perniagaan UiTM Cawangan Melaka Kampus Bandaraya Melaka