Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 Julai - AmBank Research menjangkakan dalam tempoh jangka masa panjang ringgit akan diniagakan kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Firma itu bagaimanapun mengekalkan unjuran ringgit akan berlegar pada paras RM4.10 hingga RM4.15 berbanding dolar AS bagi tahun ini manakala RM4.05 hingga RM4.10 pada 2022.
Malah, katanya, unit tempatan itu juga akan meraih manfaat daripada kelemahan dolar AS dan boleh mencecah RM4.15, lebih kukuh berbanding julat dagangan jangka panjangnya antara RM3.80 hingga RM4.50.
"Kami juga melihat dalam tempoh jangka masa panjang, ringgit akan mengukuh antara 0.2% hingga 0.5% berbanding dolar AS.
"Namun, pergerakan mata wang ini akan dipengaruhi beberapa faktor, antaranya ketidaktentuan situasi semasa pandemik COVID-19 dan sejauh mana keadah menguruskan wabak ini.
"Selain itu, pelaksanaan vaksin, pembukaan semula ekonomi, permintaan luar yang kukuh dan cabaran politik di dalam negara turut mempengaruhi pergerakan ringgit," katanya dalam nota kajian hari ini.
Dalam dagangan pagi ini, ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS ekoran meningkatnya kebimbangan mengenai penularan COVID-19 varian Delta yang telah membawa kepada sekatan pergerakan baharu di beberapa negara di Asia Tenggara.
Ringgit susut kepada RM4.2325/2360 berbanding dolar AS daripada RM4.2240/2265 semasa ditutup pada Isnin. Pasaran ditutup Selasa sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha.
Pada 14 Julai lalu, ringgit merosot hingga mencecah RM4.20, paras terendah sejak Ogos 2020 disebabkan sentimen pelabur dipengaruhi oleh ketidaktentuan politik di Malaysia dan situasi COVID-19 yang semakin buruk.
Ia juga didorong pengukuhan dolar AS selepas lonjakan inflasi AS telah menyokong jangkaan kenaikan kadar faedah AS yang lebih awal, berbanding apa yang dibayangkan pegawai Rizab Persekutuan AS.
Dalam masa sama, Malaysia merekodkan lebih 11,000 kes baharu COVID-19 selama 2 hari berturut-turut pada minggu lalu.
Menurut AmBank Research, prospek ringgit dalam tempoh terdekat akan terus lemah dengan sebahagian besarnya disebabkan kebimbangan akibat kes jangkitan kes COVID-19 dan pengurusan wabak ini.
Penularan wabak ini sudah ditakrifkan sebagai 'gelombang ketiga' manakala langkah-langkah sekatan dan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di beberapa kawasan terus memberi cabaran kepada ekonomi dan juga politik.
Malah, katanya, kesan ke atas prospek ekonomi dan politik dalam tempoh terdekat ini secara tidak langsung memberi tempias kepada persekitaran sosial.
"Situasi ini sudah tentu akan menjejaskan ringgit dalam tempoh beberapa bulan akan datang, meskipun kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 bilion menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih).
"Ini menjadikan keseluruhan pakej rangsangan yang diberikan kerajaan setakat ini berjumlah RM530 bilion atau 37% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.
Selain faktor di peringkat domestik, firma itu berkata, ringgit juga perlu mengatasi kenaikan dolar AS secara berkala.
Jelasnya, risiko terhadap dolar AS masih kekal meningkat, memandangkan ia didorong oleh data ekonomi yang positif.
"Perkembangan ini boleh mempengaruhi keputusan Rizab Persekutuan AS sama ada menaikkan atau menurunkan kadar faedah," tambahnya.
Di samping itu, jelas firma itu, ringgit juga akan dipengaruhi harga minyak mentah global terutamanya Brent.
Bagaimanapun, AmBank Research mengekalkan unjuran KDNK negara bagi tahun ini sekitar 4 hingga 4.5% dengan penurunan 3%.
"Ini mencerminkan pemulihan yang lemah setelah ekonomi negara tahun lalu mengalami penguncupan -5.6% disebabkan kelembapan penggunaan swasta dan prospek pelaburan," katanya. - DagangNews.com