SKMM tangani masalah capaian internet 4 lokasi di Sabah | DagangNews Skip to main content

SKMM tangani masalah capaian internet 4 lokasi di Sabah

Sabah

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil beberapa tindakan menyelesaikan masalah capaian internet di beberapa lokasi di Sabah.

 

Berikut adalah tindakan yang diambil SKMM di lokasi terlibat;

1) Sekolah Kebangsaan Desa Permai, Tongod, Kinabatangan

  • Satu pertemuan telah diadakan antara pihak MCMC Sandakan dan pihak penyedia perkhidmatan terdiri daripada Celcom, Digi dan Maxis dengan Cikgu Nasir ketika beliau sedang menjalankan sesi Pengajaran dan Pembelajaran bersama seorang pelajar.
  • Pertemuan itu bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi selain menjelaskan perancangan SKMM untuk menyelesaikan masalah berkenaan.
  • Untuk penyelesaian jangka panjang pula, lokasi di mana sesi Pengajaran dan Pembelajaran Cikgu Nasir dengan pelajarnya di Kg. TulangTulang telah dimasukkan di dalam perancangan pelaksanaan menara komunikasi baharu di bawah Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1.
  • Kerja-kerja pembinaan menara baharu akan bermula pada awal tahun 2022 dan dijangka siap pada Disember 2022. Sementara itu, servis menara sedia ada di Kg. Kuamut dalam pelaksanaan naik taraf kepada 4G di bawah pelan Jendela yang djangka siap pada Disember 2021.


 

2) Pulau Sebatik, Tawau

  • Pihak MCMC Tawau bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu selain melaksanakan ujian kelajuan jalur lebar di lokasi aduan.
  • Sebagai langkah sementara, pengadu telah dinasihatkan untuk tidak mengubah tetapan 4G pada perantinya dan menikmati kelajuan Internet sedia ada bagi pilihan penyedia perkhidmatan yang dilanggannya.
  • Bagi penyelesaian jangka panjang pula, sebuah menara komunikasi telah dibina di Kampung Tamang dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada awal bulan ini. 
  • Pembinaan menara berkenaan akan memberikan perkhidmatan 4G oleh pihak Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile sekali gus mempertingkatkan capaian Internet di kawasan pengadu. Ini juga akan membolehkan para penduduk di sekitar Kg. Tamang, SMK Wallace Bay dan penduduk sekitarnya untuk menjalankan aktiviti seharian dengan lancar.


 

3) Kg. Sungoi Darat, Kota Marudu

  • Pihak SKMM Sabah bersama-sama dengan penyedia perkhidmatan telah mengadakan pertemuan dengan pengadu dan isu capaian Internet yang lemah adalah akibat terhalang dengan bentuk muka bumi telah disiasat oleh SKMM.
  • Sebagai usaha bersama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Sabah, Kg. Sungoi Darat telah disenaraikan untuk disediakan perkhidmatan capaian jalur lebar melalui satelit Very Small Aperture Terminal (VSAT). Pelaksanaan inisiatif MOSTI Sabah dijangka akan dilaksanakan sekitar bulan Julai-September 2021.
  • Manakala bagi penyelesaian jangka panjang pula, lokasi ini akan dimasukkan di dalam perancangan JENDELA fasa akan datang.


 

4) Kampung Ulu Entabuan, Tenom

  • Satu pertemuan antara pihak MCMC Keningau dan wakil penyedia perkhidmatan dengan pengadu akan diadakan pada Khamis ini, 8 Julai bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi oleh keduadua pelajar terbabit selain menjelaskan perancangan MCMC untuk menangani masalah yang dihadapi.
  • Untuk penyelesaian jangka panjang, kerja-kerja menaik taraf liputan 4G menara komunikasi di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang di bawah Jendela sedang dilaksanakan dan dijangka siap pada Januari 2022. 
  • Usaha ini akan dapat meningkatkan kualiti liputan jalur lebar di Kampung Ulu Entabuan.

 


Tambah SKMM, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan untuk menangani masalah capaian internet di seluruh negara. - DagangNews.com