Skor kredit: Golongan muda 22-28 tahun paling berisiko | DagangNews Skip to main content

Skor kredit: Golongan muda 22-28 tahun paling berisiko

Skor kredit: Golongan muda 22-28 tahun paling berisiko

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 2 Mac. - Golongan muda yang berusia antara 22 hingga 28 tahun merupakan kelompok paling berisiko dalam trend skor kredit untuk tempoh 2018 hingga 2020.

 

Perkara itu dibuktikan dalam analisis trend skor kredit pengguna dan penggunaan kemudahan kredit rakyat Malaysia yang dikeluarkan Experian Information Services (Malaysia).

 

Kajian yang melibatkan 5.7 juta individu itu turut mendedahkan perubahan dalam kelayakan kredit rakyat Malaysia mengikut kumpulan usia berdasarkan penilaian risiko kredit i-SCORE Experian.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Experian Information Services (Malaysia), Dawn Lai berkata, jika dibandingkan tahap risiko kredit 2020 dengan 2018, peningkatan dapat dilihat dalam semua kumpulan usia terutamanya dalam kalangan rakyat yang berusia lebih matang.

 

"Hampir 70% individu berusi 29-35 telah mengekalkan atau menambah baik tahap risiko mereka selama tiga tahun terakhir ini.

 

"Peningkatan serupa ini dapat dilihat pada pengguna yang lebih matang dengan 87% individu yang berusia lebih daripada 65 tahun telah mengekalkan dan menambah baik lagi tahap gred risiko mereka.

 

"Ini menandakan bahawa walaupun dilanda COVID-19, pembayaran hutang individu rakyat Malaysia secara amnya stabil pada tahun 2020, dengan kelemahan yang lebih banyak dilihat dalam kalangan pengguna yang lebih muda berusia 22-28 tahun," jelas beliau dalam satu kenyataan hari ini.

 

Berikut adalah status gred risiko seluruh kumpulan usia;

.

 

Tambah beliau, moratorium pinjaman yang dilaksanakan secara menyeluruh selama enam bulan dan berakhir pada September 2020 telah diubah ke arah pendekatan yang lebih bersasar kepada mereka yang memerlukan lanjutan atau rundingan untuk Penjadualan atau Penyusunan Semula (Rescheduling & Restructuring). 

 

Justeru, pihaknya menggalakkan rakyat Malaysia agar mereka mula mengambil langkah aktif untuk mengawal portfolio kredit pada 2021 berikutan masih terdapat risiko dan ketidakpastian dalam ekonomi.

 

I-SCORE Experian merupakan skor kredit pengguna di Malaysia yang dinilai analisis statistik fail kredit pengguna yang akan menunjukkan skor antara angka 300 hingga 800 bagi melambangkan kelayakan kredit individu pada suatu masa. 

 

Unik bagi setiap individu, i-SCORE Experian yang lebih tinggi menunjukkan risiko kredit yang lebih rendah kepada pemberi pinjaman.

 

Institusi bank di Malaysia sering menggunakan i-SCORE Experian dalam membuat keputusan perniagaan dan pengurusan portfolio. - DagangNews.com