Solarvest sasar memperluaskan portfolio aset solar | DagangNews Skip to main content

Solarvest sasar memperluaskan portfolio aset solar

 

 


KUALA LUMPUR 30 Sept. - Solarvest Holdings Bhd. merancang untuk memperluaskan sumbangan portfolio aset solarnya kepada satu pertiga daripada keseluruhan pendapatan dalam tempoh 5 tahun memandangkan penerapan model ekonomi kitaran mampu memacu permintaan bagi tenaga solar.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Davis Chong Chun Shiong berkata, sasaran itu membolehkan kumpulan menjana aliran pendapatan berulang sekali gus meningkatkan pendapatan dan kelestarian dalam jangka masa panjang. 

 

"Kami menjangkakan peralihan tenaga akan berlaku dengan cepat memandangkan negara menerapkan model ekonomi kitaran. 

 

"Ini akan memacu permintaan bagi tenaga solar memandangkan tenaga diperbaharui (RE) akan menjadi tunjang utama bagi mencapai kelestarian ekosistem," katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat agung tahunan kumpulan ke-4 hari ini. 

 

agm solarvest
Pengerusi Solarvest, Datuk Che Halin (atas kiri) bersama Pengarah Urusan, Lim Chin Siu (atas tengah); Pengarah Eksekutif, Edmund Tan (atas kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Davis Chong (tengah, kiri) dan ahli lembaga pengarah Solarvest ketika Mesyuarat Agung Tahunan ke-4 hari ini yang diadakan secara maya. 

 

 

Bagi tahun kewangan 2021, Solarvest berupaya mengekalkan penguasaan pasaran sebagai rakan kerjasama bagi tenaga bersih di Malaysia dan merekodkan untung bersih yang tertinggi setakat ini sebanyak RM16.1 juta.

 

Prestasi itu mencerminkan kedudukan kumpulan yang kukuh dan kemampuan mengharungi saat-saat sukar akibat pandemik COVID-10.

 

Chun Shiong berkata, prospek pertumbuhan kumpulan kekal utuh dan menjanjikan masa depan yang terjamin terutama disokong oleh pembentangan Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) yang mana antara tumpuan kerajaan termasuklah kelestarian.

 

"Dalam hal ini, Solarvest berada dalam kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam meningkatkan penggunaan tenaga solar dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi hijau bagi membantu mencapai aspirasi kerajaan ke arah negara bebas karbon menjelang 2050," jelasnya.

 

Menurutnya, pertumbuhan projek dalam perancangan di Malaysia masih kekal utuh dan momentum positif itu akan berterusan sehingga tahun fiskal yang baharu. 

 

Untuk itu, katanya, Solarvest akan terus memperoleh projek solar daripada peneraju industri dan berupaya mengembangkan nilai kontraknya kepada rekod tertinggi sebanyak RM560 juta setakat 1 September 2021. - DagangNews.com