S&P Global semak semula KDNK 2021 lebih rendah kepada 3.2% | DagangNews Skip to main content

S&P Global semak semula KDNK 2021 lebih rendah kepada 3.2%

 

 

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka berkembang 3.2% tahun ini, lebih rendah berbanding 4.1% sebelum ini, berdasarkan unjuran S&P Global Ratings.

 

Agensi penarafan itu berkata, perdagangan antarabangsa menyediakan penampan yang kukuh bagi mencapai pertumbuhan tahun ini, namun, permintaan domestik dilihat masih lemah.

 

"Sekatan pergerakan bagi mengekang penularan wabak ini sudah berlarutan sekitar 3 bulan. 

 

"Kemerosotan yang lebih lama akan mengurangkan aktiviti bagi sektor perkhidmatan dan menyebabkan lebih ramai hilang pekerjaan, yang mana pada Jun kadar pengangguran melonjak kepada 4.8% berbanding 4.5% pada Mei," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) sebelum ini turut menyemak turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi 2021 antara 3 hingga 4% berbanding 6 hingga 7.5% sebelum itu. 

 

Baru-baru ini, Fitch Solutions Country Risk & Industry Research turut menyemak semula KDNK tahun ini kepada sifar berbanding unjurannya sebelum ini pada 4.9%. 

 

Menurut S&P Global, dengan kadar vaksinasi yang tinggi, dengan kira-kira 52% menerima sekurang-kurangnya 1 dos vaksin, ia membolehkan ekonomi dibuka semula secara berperingkat beberapa bulan akan datang. 

 

"Kami mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang 6% pada 2022 diikuti 5.2% pada 2023 dan 4.6% pada 2024," tambahnya.

 

Sementara itu, mengulas mengenai ekonomi Asia Tenggara, ia berkata, rantau ini berdepan ketidaktentuan ekoran gelombang pandemik COVID-19. 

 

S&P Global menjelaskan, tempoh jangka masa dan keparahan pandemik ini adalah lebih buruk berbanding yang dijanakan sebelum ini. 

 

"Oleh itu, kami menyemak semula unjuran pertumbuhan 2021 bagi beberapa negara baharu muncul di rantau ini," katanya.

 

Tambah agensi itu, penggunaan swasta dan perkhidmatan akan terjejas teruk akibat pandemik COVID-19.

 

"Walaupun, sekatan pergerakan awal tahun ini kurang terjejas dari segi kos memandangka ekonomi sudah mengadaptasi suasana baharu tetapi tempoh yang lama bermakna kos kepada ekonomi terus meningkat," jelasnya.

 

Dalam pada itu, katanya, perdagangan antarabangsa kekal kukuh didorong permintaan tinggi apabila ekonomi global dibuka semula. - DagangNews.com