Staf MAHB dijangka terima vaksin dalam masa terdekat ini - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Staf MAHB dijangka terima vaksin dalam masa terdekat ini - TA Securities

Gambar hiasan

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Jun - Kakitangan syarikat pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dijangka menerima suntikan vaksin dalam masa terdekat ini di bawah Fasa 4 program vaksinasi untuk sektor kritikal. 

 

Firma penyelidikan, TA Securities difahamkan berhubung perkara itu oleh pihak pengurusan MAHB dan mendedahkan bahawa 19% daripada mereka telah divaksinkan di bawah Fasa 1 dan 2 serta program sukarelawan AstraZeneca.

 

“Baru-baru ini, Khairy Jamaluddin (Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan) mengumumkan bahawa Fasa 4 program vaksinasi akan bermula 16 Jun, menyasarkan mereka yang bekerja di sektor ekonomi kritikal seperti pembuatan, eksport, logistik dan pengangkutan, tenaga, utiliti dan sebagainya. 

 

“Oleh itu, kami yakin kadar vaksinasi akan meningkat lagi selepas Fasa 4 bermula Rabu ini. Setakat 9 Jun, jumlah individu yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 1.5 juta dan mereka yang telah menerima vaksinasi penuh seramai 1.2 juta. 

 

“Bagi mencapai imunisasi 32.8 juta individu, kerajaan boleh melakukannya dalam tempoh kira-kira 185 hari (enam bulan), jika kita boleh mengekalkan purata kadar vaksinasi harian sebanyak 200,000,” jelas penganalisis di TA Securities, Tan Kam Meng.

 

Bagi tempoh lima bulan pertama 2021 (5M21), pergerakan penumpang MAHB menyusut pada kadar yang sederhana kepada 85.4% daripada 87.7% pada sebulan sebelumnya kepada 2.8 juta. 

 

Ini sejajar dengan unjuran trafik oleh TA Securities dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), masing-masing pada kadar -25.5% dan -22.9% hingga -29.1%, selain menjangkakan pertumbuhan bagi suku keempat 2021 (4Q21) akan dipacu oleh sekatan rentas negeri yang ditamatkan.

 

Firma penyelidikan itu bagaimanapun tidak mengubah unjuran trafik sekali gus mengekalkan ramalan perolehan MAHB pada tahun kewangan 2021 (FY21) hingga FY23.

 

Dari segi prestasi harga saham, walaupun MAHB berjaya mengungguli FBM KLCI pada tahun ini, namun saham itu masih di bawah paras sebelujm pandemik, tambah Kam Meng lagi.

 

TA Securities mengekalkan saranan ‘beli’ saham MAHB dengan aliran tunai terdiskaun (DCF) saham kumpulan ditingkatkan kepada RM7.49 daripada RM6.68. - DagangNews.com