Stanley buka akses perniagaan besar di China - AirAsia | DagangNews Skip to main content

Stanley buka akses perniagaan besar di China - AirAsia

Stanley Choi Chiu Fai
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 25 Feb. - Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Berhad melihat kedudukan Dr. Stanley Choi Chiu Fai sebagai pemegang saham penting dalam kumpulannya akan membuka akses besar kepada perniagaan di China. 

 

Beliau yang merupakan pengerusi salah sebuah syarikat terbesar di Hong Kong dikatakan mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam perniagaan pelaburan dan sebagai ahli YunFeng Capital, menurut Pengerusi Eksekutif Kumpulan AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun.

 

Malah, jelas Kamarudin, Stanley mampu membuka peluang untuk kerjasama sinergi dengan negara-negara ASEAN.

 

“Kami amat berbesar hati untuk menyambut Dr. Stanley Choi sebagai pemegang saham strategik Kumpulan AirAsia.

 

“Beliau mempunyai rekod prestasi yang cemerlang dan reputasi yang kukuh sebagai seorang ahli perniagaan berjaya kepada kumpulan kami. 

 

“Kami yakin bahawa beliau dapat menambah nilai dalam pengembangan perniagaan digital kami di China melalui pengalaman dan jaringan yang luas dengan pemain-pemain digital terkemuka di negara tersebut,” katanya dalam sebuah kenyataan hari ini. 

 

Pada 18 Februari lalu, Stanley memperoleh 167.1 juta saham AirAsia menerusi entiti milik penuhnya, Positive Bloom Ltd.

 

Ekuiti itu diperoleh pada tahap pertama tawaran persendirian, meningkatkan pegangan sahamnya dalam kumpulan berkenaan kepada 332.5 juta saham bersamaan dengan 8.96%.

 

Stanley Choi merupakan graduan Ijazah Sarjana Sains dari University of Illinois di Urbana Champaign, Amerika Syarikat pada tahun 1996. 

 

Pada tahun 2013, beliau memperoleh Ijazah Doktor Pentadbiran Perniagaan dari City University of Hong Kong.

 

Dikenali sebagai ahli perniagaan yang berjaya, beliau memiliki pengalaman lebih daripada 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan projek penggabungan dan pengambilalihan, dengan tumpuan khusus pada pelaburan ekuiti swasta. 

 

Beliau juga merupakan pelabur tahap awal untuk Kidswant, sebuah syarikat permulaan dari China yang kini menjadi peruncit produk ibu, bayi dan kanak-kanak terkemuka di China bernilai lebih daripada AS$3 bilion.

 

Untuk rekod, Stanley Choi memegang jawatan sebagai Pengerusi Head & Shoulders Financial Group, serta Pengerusi dan Pengarah Eksekutif International Entertainment Corporation (IEC), sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Hong Kong. 

 

Beliau juga merupakan satu-satunya ahli pengasas bersama dari Hong Kong bagi YunFeng Capital - sebuah syarikat ekuiti swasta yang ditubuhkan pada tahun 2010 oleh sekumpulan usahawan dan pemimpin industri berpengaruh, yang dinamakan sempena pengasas bersamanya Jack Ma, pengasas Kumpulan Alibaba, dan David Yu, pengasas Target Media.

 

Menurut AirAsia, beliau sebelum ini memegang jawatan sebagai Pengarah Eksekutif Target Insurance (Holdings) Limited dari tahun 2014 hingga 2019; Pengarah ZhongAn Online P&C Insurance Co. Limited dari tahun 2013 hingga 2016; dan Pengarah Eksekutif Media Asia Group Holdings Limited dari tahun 21011 hingga 2015.

 

“Saya berasa sukacita untuk menjadi salah seorang pemegang saham penting dalam Kumpulan AirAsia - syarikat tambang rendah terbaik dunia dan salah satu jenama yang paling terkenal di Asia yang kini turut menjalankan perniagaan digital. 

 

“Saya percaya cabaran terburuk dalam sejarah industri penerbangan kini telah berlalu. Saya yakin perjalanan udara akan pulih dan di bawah kepimpinan Tan Sri Tony (Fernandes) dan Datuk Kamarudin, serta pelaksanaan vaksin di seluruh Malaysia, AirAsia mempunyai masa depan yang amat cerah. 

 

“Saya berharap dapat bekerjasama dengan semua orang di AirAsia,” kata Stanley dalam kenyataan sama.

 

Setakat 10.01 pagi, nilai saham AirAsia menokok 1 sen kepada 91 sen. - DagangNews.com