Status kemajuan pembinaan 18 pesawat LCA FA-50M TUDM capai 37 peratus | DagangNews Skip to main content

Status kemajuan pembinaan 18 pesawat LCA FA-50M TUDM capai 37 peratus

Pesawat FA-50PL milik Poland merupakan varian tercanggih dalam keluarga FA-50.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 19 Ogos - Progres pembinaan pesawat pejuang ringan (LCA) FA-50M (Block 20) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) lancar dengan tahap kemajuan pemasangan mencapai 37 peratus.

 

Memetik laporan laman web pertahanan Defence Security Asia, fasa pembinaan pesawat yang dilakukan oleh firma Korea Aerospace Industries (KAI) itu berjalan sepertimana dirancang.

 

Berdasarkan kemajuan semasa juga dijangkakan pemasangan bagi perolehan 18 buah pesawat kesemuanya dapat mencapai 39 peratus menjelang akhir bulan ini.

 

 

Mengikut progres ini rupa bentuk pesawat fizikal FA-50M (Block 20) TUDM akan dapat dilihat pada tahun hadapan apabila kemajuan pemasangan meningkat.

 

Pesawat
TUDM memilih pesawat FA-50M Block 20 sebagai aset terbaharu.

 

Pesawat
Proses pemasangan pesawat FA-50 di kilangnya di Seoul.

 

Ini merupakan kemajuan pemasangan pesawat yang positif kerana pada Mac lalu status pembinaan pesawat mencapai 26.7 peratus.

 

TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50M pada bulan Oktober 2026.

 

Penghantaran fasa seterusnya baki pesawat pula akan dibuat secara berperingkat dengan pesawat terakhir dijangka diterima pada tahun 2028.

 

Kerajaan Malaysia pada Mei tahun lalu menandatangani kontrak perolehan 18 buah pesawat pejuang ringan FA-50M buatan dengan kos kira-kira RM4 billion.

 

Perolehan pesawat ini berdasarkan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

 

Pesawat

 

Pesawat
Sebahagian daripada 12 buah pesawat FA-50PL Tentera Udara Poland.

 

Ia menyasarkan perolehan pesawat yang berkemampuan melaksanakan tugas dwifungsi iaitu sebagai pesawat latihan lanjutan bakal juruterbang pejuang dan LCA.

 

TUDM memerlukan 36 buah pesawat jenis ini kesemuanya bagi mewujudkan 2 buah skuadron LCA.

 

Pembelian FA-50M Block 20 adalah untuk menggantikan pesawat Hawk Mk 108/208 dan Aermacchi MB339CM.

 

Hawk Mk 108/208 yang berusia 30 tahun sebelum ini menjadi tulang belakang sebagai pesawat latihan lanjutan untuk bakal juruterbang pesawat tempur selain operasi.

 

Pesawat
Pesawat Hawk Mk208.

 

Dalam insiden di Lahad Datu, Sabah pada Mac 2013, lima buah pesawat Hawk dikerah untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan pengganas Sulu.

 

Sebahagian pesawat Hawk 200 yang berpangkalan di TUDM Labuan, Sabah pernah dikerah memintas sejumlah pesawat pengangkut strategik tentera China yang memasuki ruang angkasa negara pada 2021.

 

Varian FA-50 Block 20 yang akan dimiliki TUDM adalah paling moden dan berkeupayaan, berbanding varian lain yang diperoleh negara lain termasuk Korea Selatan dan beberapa negara di Asia Tenggara.

 

Pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 buatan Korea Selatan itu, turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Indonesia dan Filipina di Asia Tenggara.

 

TUDM menjadi pengguna kedua selepas Poland yang memiliki varian FA-50 dengan ciri-ciri canggih.

 

Pesawat

 

Pesawat FA-50M Block 20 TUDM bakal dilengkapi dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) ‘Phantom Strike’ dan pelbagai komponen elektronik terkini serta peralatan mengisi minyak di udara.

 

Kemudahan pengisian minyak di udara akan memastikan pesawat FA-50M Block 20 itu beroperasi lebih jauh sesuai dengan geografi Malaysia sebagai negara maritim.

 

Ini juga memberi kelebihan untuk pesawat terbang lebih lama.

 

Pesawat ini juga akan dilengkapi dengan kemampuan untuk melancarkan peluru berpandu dan bom berketepatan tinggi.

 

Pesawat
Tim aerobatik Tentera Udara Korea Selatan menggunakan pesawat FA-50.

 

Selain itu, ia juga akan dilengkapi dengan pod sasaran ‘Sniper Advanced Targeting Pod’ (ATP) yang dibangunkan oleh firma pertahanan Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

 

Ini menjadikan keupayaan operasi FA-50M hampir menyamai pesawat tempur yang bersaiz lebih besar seperti F-16 dan FA-18 yang dipasang dengan pod ATP. - DagangNews.com